KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini merakamkan ucapan takziah kepada Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan atas pemergian abang kandungnya Md Shahdin yang berusia 80-an, malam tadi.
Ucapan takziah disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor sebelum memulakan sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada persidangan pagi ini.
”Ahli-Ahli Yang Berhormat, dengan perasaan amat dukacita dan sedih, saya ingin mengumumkan bahawa abang kandung kepada Yang Berhormat Datuk Seri Takiyuddin Hassan kembali ke rahmatullah malam tadi.
”Saya bagi pihak Ahli-Ahli Dewan ini dan bagi pihak Parlimen seluruhnya ingin merakamkan ucapan takziah kepada Yang Berhormat Datuk Seri Takiyuddin atas pemergian abang kandungnya,” katanya.
Ramli turut mengajak Ahli Parlimen mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham serta menempatkannya dalam kalangan orang yang soleh dan beriman.
-- BERNAMA