PARIS: Gelombang haba ekstrem yang melanda Eropah kini mencetuskan krisis kemanusiaan apabila rumah mayat di Paris dilaporkan penuh, sekali gus menyebabkan keluarga mangsa berdepan kesukaran menguruskan jenazah ahli keluarga mereka.
Di sebuah rumah mayat berhampiran Lapangan Terbang Orly, pemiliknya, Zouhaeir Hertelli berkata, telefonnya berdering setiap beberapa minit, dengan pertanyaan yang sama daripada pengarah pengebumian dan keluarga yang sedang berduka - sama ada masih ada ruang untuk menerima jenazah.
Namun, dengan kesemua 32 ruang simpanan telah penuh, beliau terpaksa menolak permintaan tersebut berulang kali.
“Kita sedang berdepan situasi yang amat dahsyat. Saya menerima ratusan panggilan,” katanya.
Ketika gelombang haba yang mencatat rekod beralih ke bahagian timur Eropah, Perancis mula menilai kesan sebenar terhadap nyawa manusia yang ditinggalkan.
Walaupun data rasmi masih dalam proses dikumpulkan dan mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan untuk dimuktamadkan, kesan suhu ekstrem yang berpanjangan itu sudah jelas memberi impak besar, khususnya kepada warga emas yang meninggal dunia di rumah.
“Kematian meningkat secara mendadak akibat gelombang haba ini dan kapasiti kami benar-benar sudah penuh,” tambah Hertelli.
Menurut anggaran awal agensi kesihatan awam Perancis, jumlah kematian melonjak ketika kemuncak gelombang haba minggu lalu, apabila suhu di banyak kawasan melebihi 40 darjah Celsius, selain mencatat suhu malam tertinggi yang memecah rekod.
Lebih 1,200 kematian direkodkan pada hari Rabu, diikuti peningkatan kepada lebih 1,400 kes pada hari Khamis dan jumlah sama pada hari Jumaat.
Sebagai perbandingan, kadar kematian harian sebelum gelombang haba, sekitar April dan Mei adalah antara 900 hingga 1,000 kes sehari.
Agensi berkenaan memaklumkan, sekurang-kurangnya 1,000 kematian tambahan berlaku dalam tempoh tiga hari tersebut sahaja, namun angka sebenar dijangka lebih tinggi memandangkan banyak kematian di rumah dan pusat penjagaan warga emas masih belum direkodkan sepenuhnya.
Sebanyak 85 peratus daripada kematian yang direkodkan melibatkan individu berusia 65 tahun ke atas, dengan peningkatan ketara kes kematian di rumah, khususnya di wilayah Paris.
Situasi kritikal itu menyebabkan rumah mayat di bandar berkenaan kehabisan ruang simpanan.
Pihak berkuasa bandar terpaksa menyediakan dua unit penyimpanan sementara, masing-masing mampu menempatkan 20 mayat, manakala hospital turut menambah kapasiti sekitar 50 ruang tambahan.
Namun, Hertelli mendedahkan, ada pengendali pengurusan kematian yang terpaksa menghantar mayat sejauh 80 kilometer dari Paris ke Chartres serta kawasan lain berhampiran bagi mendapatkan ruang simpanan.
Bagi menampung keperluan, beliau turut memohon kebenaran untuk memasang kontena sejuk beku sementara di luar premisnya, namun, masih menunggu kelulusan pihak berkuasa.
“Keluarga mangsa benar-benar menderita. Kami langsung tiada penyelesaian untuk ditawarkan kerana semua rumah pengebumian sudah penuh.
“Kami sangat bersimpati dengan mereka, tetapi kami tidak mampu membantu. Ini masalah besar, sangat besar,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengarah pengebumian di Paris, Veronique Bertrand, berkata, kebanyakan kes kematian yang dikendalikan melibatkan individu yang tinggal bersendirian.
Menurutnya, keadaan mangsa yang ditemui menunjukkan tiada punca lain selain kesan cuaca panas melampau.
Beliau turut mengingatkan tragedi gelombang haba pada tahun 2003 yang meragut kira-kira 15,000 nyawa di Perancis, serta lebih 5,700 kematian yang dikaitkan dengan cuaca panas ekstrem pada tahun lalu.
Katanya, masyarakat tidak seharusnya melupakan pengajaran daripada tragedi tersebut.
“Saya rasa orang ramai perlu sedar semula. Kita perlu kembali mengamalkan sikap saling mengambil berat, terutama terhadap jiran atau individu yang tinggal bersendirian.
“Mungkin kita perlu bertanya khabar dari semasa ke semasa - pastikan mereka minum air dan berada dalam keadaan selamat.
“Dengan peredaran masa, kita mungkin terlupa bahawa tragedi ini boleh berulang, malah mungkin lebih buruk,” katanya. - Agensi