KUALA LUMPUR: Sebarang permohonan tambahan dana daripada kerajaan negeri bagi projek pembangunan yang melibatkan Notice of Change (Notis Perubahan - NOC) perlu dirunding semula sebelum keputusan mengenai peruntukan atau pinjaman tambahan dibuat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata proses itu perlu dilaksanakan kerana NOC membawa implikasi kewangan tambahan dan memerlukan penelitian terhadap pelbagai aspek termasuk sama ada peningkatan kos berpunca daripada pihak kontraktor.
Anwar berkata Kerajaan Persekutuan tidak boleh 'terikat’ dengan keputusan kerajaan negeri apabila timbul keperluan kos tambahan, sebaliknya setiap permohonan perlu dinilai sebelum sebarang keputusan mengenai peruntukan atau pinjaman diputuskan.
"Bila ada Notice of Change, ia melibatkan dana tambahan, jadi ia kena dirunding semula. Pertama, kita perlu melihat peranan kontraktor dan punca sebenar masalah yang timbul.
“Kedua, apabila ada penambahan (dana) ia melibatkan Persekutuan, dan Persekutuan tidak boleh terikat dengan keputusan (kerajaan) negeri (sehingga) bila ada masalah, secara automatik perlu diberikan peruntukan atau pinjaman tambahan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.