KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah menghalang pelaksanaan program di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), termasuk oleh kerajaan negeri selagi tidak melibatkan penggunaan jentera Kerajaan Persekutuan untuk tujuan berkempen semasa pilihan raya.
Perdana Menteri berkata kerajaan negeri bebas menganjurkan program di kawasan FELDA, namun penggunaan jentera kerajaan termasuk jentera agensi berkenaan bagi tujuan kempen adalah tidak dibenarkan mengikut peraturan pilihan raya.
"Tidak ada halangan sama sekali untuk seorang menteri besar masuk ke kawasan FELDA dan mengadakan programnya sendiri.
"Kerajaan negeri hendak pergi beri geran tanah itu hal dia walaupun dia tahu tentang peraturan pilihan raya. Bukan larangan, tetapi menggunakan jentera FELDA untuk berkempen itu tidak boleh," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam penjelasannya terhadap soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), Anwar menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan arahan membatalkan Program Hari Peneroka FELDA yang dijadualkan berlangsung di Kluang, Johor, pada 20 dan 21 Jun lepas.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI terus memberi perhatian kepada kebajikan warga FELDA menerusi pelbagai inisiatif bagi memulihkan kawasan berkenaan yang terjejas akibat pengurusan terdahulu.
Beliau berkata antara usaha yang dilaksanakan termasuk penyediaan pusat dialisis di kawasan FELDA serta penyaluran pelbagai kemudahan pembangunan melalui agensi Kerajaan Persekutuan.
"Sebelum ini banyak kawasan FELDA tidak mendapat perhatian sewajarnya kerana seolah-olah terpinggir daripada projek pembangunan desa.
“Sebab itu saya bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil keputusan untuk menyediakan kemudahan yang jauh lebih baik berbanding sebelum ini," katanya.
-- BERNAMA