Skip to main content

Malaysia

Lagi insiden di Kem Hobart, dua anggota tentera cedera senjata meletup

Kem Hobart
Kecederaan dialami kedua-dua mangsa disahkan bukan akibat peluru sebaliknya serpihan atau objek yang terpelanting ketika senjata itu meletup secara tiba-tiba. - Gambar/ Astro AWANI

GURUN: Dua anggota tentera berpangkat koperal dan sarjan cedera di bahagian lutut setelah senjata api yang digunakan ketika latihan di Kem Hobart, di sini meletup akibat masalah teknikal, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang, seorang mangsa berusia 35 tahun yang merupakan jurulatih mengalami kecederaan di lutut kanan sehingga memerlukan lapan jahitan.

Seorang lagi mangsa berusia 29 tahun yang cedera pada lutut kiri, dikhuatiri melibatkan saraf, masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kecederaan dialami kedua-dua mangsa disahkan bukan akibat peluru sebaliknya serpihan atau objek yang terpelanting ketika senjata itu meletup secara tiba-tiba.

“Siasatan awal mendapati berlaku masalah teknikal apabila senjata tiba-tiba mengalami ‘stoppages’ atau gagal berfungsi ketika latihan. Selepas prosedur keselamatan diambil termasuk mengosongkan senjata dan dibaringkan, tiba-tiba berlaku letupan.

“Maka, siasatan kini menjurus kepada kemungkinan letupan itu menyebabkan serpihan objek asing melantun sehingga mencederakan kedua-dua anggota dan doktor turut sahkan kecederaan konsisten kerana terkena objek asing dan bukannya tembakan peluru,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Adzli, pemeriksaan awal turut mendapati komponen regulator pada sistem gas senjata berkenaan tercabut, namun punca sebenar masih memerlukan penelitian lanjut oleh pakar persenjataan.

Katanya, pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pakar persenjataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah meninjau lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan terperinci.

“Meskipun ia dipercayai berpunca daripada masalah teknikal dan bukannya kecuaian anggota atau terkena tembakan peluru kita masih membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960 bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Beberapa saksi termasuk pegawai berpangkat mejar yang bertugas sebagai pemerhati latihan telah ditemu bual, manakala rakaman percakapan rasmi akan diambil selepas keadaan mangsa stabil,” katanya.

Ujar beliau, latihan berkenaan melibatkan 300 pegawai dan anggota tentera dari Kem Bukit Cawder, Perlis yang bermula Ahad lalu hingga Khamis ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan polis terhadap kes kematian melibatkan dua anggota tentera akibat letupan bom tangan di kem sama pada 16 Jun lalu telah diserahkan kepada pihak tentera.

Adzli berkata, pihaknya kekal mengklasifikasikan kes terbabit sebagai kematian mengejut (SDR) dan beliau dimaklumkan bahawa pihak tentera masih menjalankan siasatan secara terperinci.


 

Must Watch Video

Advertisement