Skip to main content

Malaysia

Industri sukan sedia 198,400 peluang pekerjaan pada 2024 - DOSM

71637917050_jogging.jpg
Perkhidmatan sukan (kecuali borong dan runcit) merekodkan sumbangan terbesar guna tenaga industri sukan sebanyak 40.8 peratus, diikuti oleh pembuatan sukan 30 peratus, borong dan runcit sukan 28.3 peratus dan pembinaan fasiliti sukan 0.9 peratus. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Industri sukan Malaysia menyediakan 198,400 peluang pekerjaan pada 2024, dengan sektor itu terus berkembang 7.8 peratus kepada RM24.1 bilion.

Menurut laporan Akaun Satelit Sukan 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, jumlah guna tenaga itu mewakili 1.2 peratus daripada keseluruhan guna tenaga di negara ini, manakala Nilai Ditambah Kasar Industri Sukan (NDKIS) menyumbang 1.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata perkhidmatan sukan (kecuali borong dan runcit) merekodkan sumbangan terbesar guna tenaga industri sukan sebanyak 40.8 peratus, diikuti oleh pembuatan sukan 30 peratus, borong dan runcit sukan 28.3 peratus dan pembinaan fasiliti sukan 0.9 peratus.

"Pertumbuhan NDKIS pada 2024 didorong oleh perkhidmatan sukan, tidak termasuk borong dan runcit, yang berkembang 6.7 peratus berbanding 11.5 peratus pada tahun sebelumnya.

"Perkhidmatan sukan, tidak termasuk borong dan runcit, turut mendominasi NDKIS dengan sumbangan sebanyak 41.7 peratus daripada keseluruhan nilai industri sukan, diikuti borong dan runcit sukan sebanyak 32.0 peratus, pembuatan produk sukan 24.2 peratus dan pembinaan fasiliti sukan 2.1 peratus," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata eksport produk sukan berjumlah RM10.3 bilion pada 2024 atau 0.8 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, manakala import produk sukan meningkat kepada RM7.2 bilion, menjadikan eksport bersih produk sukan sebanyak RM3.1 bilion.

Secara keseluruhan katanya, industri sukan terus memainkan peranan penting dalam ekonomi negara menerusi sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan aktiviti perdagangan antarabangsa.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement