Skip to main content

Sukan

Piala Dunia: Maghribi mara ke pusingan 16, tewaskan Belanda menerusi penentuan penalti

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Round of 32 - Netherlands v Morocco - Estadio Monterrey, Monterrey, Mexico - June 29, 2026 Morocco's Soufiane Rahimi, Ahmed Reda Tagnaouti and teammates celebrate after the match as Morocco qualify for the Round of 16 stage of the World Cup REUTERS/Eloisa Sanchez TPX IMAGES OF THE DAY
Maghribi akan berdepan tuan rumah bersama Kanada, pada Sabtu ini di Houston bagi merebut tempat ke suku akhir. - Foto Reuters

MONTERREY: Maghribi mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia selepas menewaskan Belanda 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan dramatik pada Isnin, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ismael Saibari menyempurnakan sepakan penalti terakhir apabila menyepak bola ke penjuru kiri gawang, sementara penjaga gol Belanda, Bart Verbruggen, melompat ke arah yang salah.

Maghribi akan berdepan tuan rumah bersama Kanada, pada Sabtu ini di Houston bagi merebut tempat ke suku akhir.

Cody Gakpo menjaringkan gol pembukaan yang penuh bermakna buat Belanda hanya beberapa hari selepas beliau dan pasangannya, Noa van der Bij, mengumumkan kehilangan bayi yang masih dalam kandungan.

Walaupun berdepan detik sukar dalam kehidupan peribadinya, Gakpo memilih untuk terus bersama pasukan dalam kejohanan itu dan memecah kebuntuan pada minit ke-72.

Wout Weghorst menanduk hantaran jauh daripada penjaga gol ke arah Crysencio Summerville. Summerville kemudian melakukan larian, terjatuh ketika diasak antara dua pertahanan, namun masih berjaya melorongkan bola kepada Gakpo yang merembat masuk ke gawang.

Jaringan itu seolah-olah sudah memadai untuk membawa Belanda ke pusingan 16 terbaik, namun Maghribi bangkit menyamakan kedudukan pada minit pertama masa kecederaan.

Kapten Belanda, Virgil van Dijk, hanya mampu melihat Issa Diop menanduk masuk hantaran lintang Chemsdine Talbi dari sebelah kiri.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement