Skip to main content

Dunia

30 negara sertai operasi menyelamat di Venezuela

This aerial view shows workers searching through destroyed buildings in Caraballeda, La Guaira State, Venezuela, on Monday, June 29, 2026, following two major earthquakes. (Miguel Medina/Pool Photo via AP)
Menurut data rasmi terkini, angka kematian mencecah 1,719, dan lebih 5,000 orang cedera. - Gambar/ AP

CARACAS (VENEZUELA): Pasukan penyelamat dari 30 negara mengambil bahagian dalam operasi pascagempa di Venezuela, kata pemangku Presiden Venezuela Delcy Rodriguez, lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Kami meneruskan usaha menyelamat untuk mencari mangsa yang terselamat... satu lagi pasukan dari Vietnam tiba hari ini, serta penyelamat dari saudara kita Cuba. 

"Kita terus bergabung tenaga. 30 negara sudah berada di Venezuela, memenuhi misi mulia menyelamatkan nyawa, mengambil bahagian dalam usaha mencari dan menyelamat, dan menyokong rakyat kita dalam masa yang sukar ini," kata Rodriguez pada Isnin.

Beliau menambah pihak berkuasa telah mula menilai keadaan bangunan yang rosak. Di samping itu, Rodriguez menyatakan keluarga yang kehilangan rumah akan ditempatkan sementara di kem yang dibina khas dan kementerian perumahan sudah pun memulakan program untuk membina rumah baharu.

Menurutnya, pihak berkuasa menjangkakan dapat menyediakan rumah kepada ribuan keluarga yang terjejas menjelang akhir tahun ini.

Pada masa sama, Kementerian Luar Itali berkata 11 warga negara itu maut dalam gempa bumi di Venezuela dan pencarian masih diteruskan.

Lebih 100 pakar Itali, termasuk kakitangan pertahanan awam, bomba, perubatan dan pakar mencari dan menyelamat, telah dihantar ke Venezuela.

Itali juga menyampaikan bantuan kemanusiaan dan peralatan dalam dua penerbangan pengangkutan tentera.

Pada Rabu, dua gempa bumi kuat dengan magnitud 7.2 dan 7.5 melanda Venezuela. Menurut data rasmi terkini, angka kematian mencecah 1,719, dan lebih 5,000 orang cedera.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

Must Watch Video

Advertisement