Skip to main content

Dunia

'Iran akan komited terhadap MoU jika AS komited' - Presiden

Sumber: IRNA
Pezeshkian berkata pendekatan Iran adalah berteraskan rasional, maruah kemanusiaan dalam membuat keputusan serta pertahanan yang teguh dan tanpa gentar apabila tindakan diperlukan. - Gambar fail

ISTANBUL: Iran akan terus komited terhadap Memorandum Persefahaman (MoU) bertarikh 18 Jun dengan Amerika Syarikat (AS) selagi Washington mematuhi obligasinya, menurut Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Persefahaman ini adalah perkara yang bersandarkan timbal balik. Jika pihak Amerika kekal komited terhadap memorandum itu, kami juga akan memenuhi komitmen kami," kata Pezeshkian dalam satu hantaran di platform media sosial X.

Beliau berkata pendekatan Iran terhadap apa yang disifatkannya sebagai "retorik tidak munasabah" dan ancaman adalah berteraskan rasional, maruah kemanusiaan dalam membuat keputusan serta "pertahanan yang teguh dan tanpa gentar apabila tindakan diperlukan."

Kenyataan Pezeshkian itu dibuat di tengah-tengah perdebatan yang berterusan mengenai pelaksanaan memorandum yang ditandatangani pada 18 Jun itu, menamatkan konfrontasi ketenteraan selama beberapa minggu antara Tehran dan Washington, selain mewujudkan rangka kerja bagi meredakan ketegangan di pelbagai barisan hadapan serantau.

MoU berkenaan merangkumi peruntukan berkaitan keselamatan maritim di Selat Hormuz, eksport minyak dan pelepasan aset Iran yang dibekukan, manakala rundingan masa depan mengenai isu yang lebih luas bergantung kepada pelaksanaan perkara-perkara awal dalam perjanjian itu.

Pegawai Iran telah berulang kali menegaskan bahawa memorandum itu adalah berdasarkan komitmen bersama dan memberi amaran bahawa sebarang kegagalan pihak Washington untuk patuh boleh menjejaskan kelangsungan proses berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement