Skip to main content

Malaysia

Cadangan penyertaan program promosi eksport negara bagi 2026 disemak semula - KSN

SHAH ALAM, 14 April -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyampaikan ucapan pada Program Semarakkan Inovasi Sektor Awam Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Shamsul Azri berkata keputusan itu dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Eksport (JK-X) Bil. 2 Tahun 2026 yang dipengerusikannya hari ini bagi meneliti semula hala tuju program promosi eksport negara. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Semua cadangan penyertaan dalam program promosi eksport negara bagi tahun 2026 disemak semula bagi memastikan peruntukan kerajaan dioptimumkan kepada program berimpak tinggi, berorientasikan hasil serta mempunyai potensi pasaran yang lebih kukuh.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata keputusan itu dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Eksport (JK-X) Bil. 2 Tahun 2026 yang dipengerusikannya hari ini bagi meneliti semula hala tuju program promosi eksport negara.

Beliau berkata penelitian itu bertujuan memastikan setiap penyertaan kementerian dan agensi benar-benar memberi nilai tambah kepada ekonomi negara.

"Eksport negara tidak boleh bergerak secara rutin ketika landskap perdagangan global sedang berubah dengan begitu pantas," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Shamsul Azri berkata kerajaan akan terus memperkukuh pendekatan whole-of-government bagi memastikan ekosistem eksport negara kekal tangkas, berdaya saing dan mampu merebut peluang baharu meskipun berdepan cabaran perdagangan global yang semakin dinamik.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement