NEW YORK: Peraturan lambungan syiling sebelum penentuan sepakan penalti tidak diubah pada saat akhir bagi saingan Piala Dunia, menurut FIFA pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Badan induk bola sepak dunia itu sebelum ini mengemukakan cadangan kepada badan pembuat peraturan, Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB), supaya hanya satu lambungan syiling dilakukan sebelum penentuan penalti, berbanding dua ketika ini.
Pada masa ini, satu lambungan syiling memberi kuasa kepada pemenangnya untuk memilih pasukan mana yang memulakan penentuan penalti, manakala satu lagi lambungan syiling menentukan bahagian padang yang digunakan bagi sepakan penalti.
FIFA mahu hanya satu lambungan syiling diadakan, dengan pemenangnya menentukan satu daripada dua pilihan berkenaan. Pasukan yang kalah pula akan memilih pilihan yang satu lagi.
Bagaimanapun, sebarang perubahan tidak akan dibuat ketika kejohanan sedang berlangsung, menurut FIFA.
-- BERNAMA-dpa