ISKANDAR PUTERI: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar antara kawasan dengan jumlah pengundi terbesar di Johor, iaitu sekitar 131,000 orang, sekali gus menjadikannya antara medan paling mencabar dalam Pilihan Raya Negeri kali ini.
Namun, di sebalik saiz dan skalanya, kawasan ini juga memperlihatkan realiti yang lebih kompleks.
Kota Iskandar menghimpunkan dua kelompok berbeza, daripada komuniti elit di kawasan berpagar kepada golongan berpendapatan rendah yang bergantung kepada peluang ekonomi setempat.
Bagi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Pandak Ahmad, keadaan ini memerlukan pendekatan yang lebih seimbang, bukan hanya dari sudut pembangunan fizikal tetapi juga agihan manfaat ekonomi.
“Kota Iskandar ini bukan kawasan biasa. Kita ada nelayan, Orang Asli, penduduk kampung, tetapi dalam masa sama ada juga golongan profesional serta pelabur asing.
“Kalau kita turun kepada nelayan, kita kena faham keperluan mereka. Kalau dengan golongan profesional, pendekatan juga berbeza, tetapi akhirnya manfaat pembangunan itu mesti sampai kepada semua,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Dua realiti dalam satu DUN
Kota Iskandar merangkumi kawasan dalam Johor Bahru dan Kulai dengan landskap sosial yang berlapis.
Di sinilah terletaknya pusat pentadbiran Negeri Johor iaitu Bangunan Dato Jaafar serta agensi lain, selain merangkumi pembangunan moden seperti Medini yang berkembang sebagai hab komuniti ekspatriat dan pelaburan.
Di satu bahagian, kawasan seperti Pulai Indah dan Pulai Mutiara menempatkan komuniti berpendapatan tinggi dengan kemudahan moden dan akses kepada peluang ekonomi yang lebih luas.
Dalam masa sama, terdapat komuniti kampung, nelayan serta kelompok B40 yang lebih terdedah kepada turun naik ekonomi.
Perbezaan ini, menurut Pandak, memerlukan pendekatan yang berbeza mengikut kelompok masyarakat.
Peranan sebagai ‘jambatan’
Dalam kempennya, Pandak meletakkan dirinya sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan.
“Saya mahu menjadi wakil kepada keresahan rakyat, jambatan yang membawa isu rakyat kepada kerajaan untuk tujuan penyelesaian.
“Saya beri tekad bahawa dipilih untuk menyelesaikan masalah, bukan menimbulkan masalah,” katanya lagi.
Pandak yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri berkata, pengalaman 12 tahun dalam pihak berkuasa Ttempatan termasuk di One Stop Centre, memberi kelebihan untuk memahami proses pembangunan dan keperluan pelbagai pihak.
“Kita bukan wakil developer, tetapi memastikan pembangunan itu rakyat tidak tersisih, kerana bila projek masuk tanpa kawalan akhirnya rakyat yang berhampiran akan menderita.
“Kadang-kadang kerja awal tak ada hoarding, tak ada netting, tak ada sistem, akhirnya penduduk yang terkesan, jadi itu yang kita perlu kawal,” tegasnya.
Pembangunan dan limpahan ekonomi
Dengan pelaburan besar di kawasan Iskandar Malaysia, Kota Iskandar dilihat sebagai pusat pertumbuhan ekonomi penting di negeri ini.
Namun, persoalan yang timbul adalah sejauh mana manfaat pembangunan itu dapat dirasai oleh rakyat setempat.
“Pembangunan mesti beri peluang kepada rakyat, peluang pekerjaan atau peluang perniagaan, termasuk kontrak dan pembekalan kepada Bumiputera dan bukan Bumiputera.
“Bila ekonomi bergerak, warung hidup, pembekal hidup, perniagaan kecil pun bergerak, itu yang kita mahu lihat di kawasan ini,” jelasnya.
Beliau memberi contoh Kampung Sungai Melayu yang menurutnya mendapat manfaat daripada pembangunan berhampiran melalui aktiviti pelancongan dan peningkatan pendapatan.
Kos sara hidup dan bantuan
Dalam isu kos sara hidup, Pandak berkata, inisiatif seperti Bantuan Kasih Johor dan Jualan Kasih Johor membantu meringankan beban rakyat.
“Kombo set RM15, ayam ada, telur ada, minyak, jadi dengan adanya pelaburan kita pulangkan semula manfaat kepada rakyat melalui bantuan seperti ini.
“Ini penting supaya rakyat masih mampu bertahan sementara ekonomi berkembang dan peluang terus diwujudkan,” katanya lagi.
Cabaran pendigitalan
Pandak turut menyentuh perubahan sistem pentadbiran kepada kaedah dalam talian, termasuk proses pelesenan yang dipermudah.
“Syarat pelesenan dikurangkan daripada 17 kepada lima dan kelulusan boleh dibuat dalam satu hari melalui sistem dalam talian.
“Bila online, kadang-kadang tidak bersemuka, jadi kita tak nampak masalah borang atau permohonan itu, itu cabaran dia,” katanya lagi.
Pandak berkata, masih ada golongan yang memerlukan bantuan untuk menyesuaikan diri dengan kaedah digital agar tidak tercicir.
Penilaian pengundi
Dalam konteks politik tempatan, Pandak berpandangan, pengundi di Kota Iskandar turut menilai perwatakan dan keupayaan calon.
“Mereka tengok siapa yang mudah didekati dan siapa yang boleh bantu menyelesaikan masalah.”
“Pengundi hari ini melihat apa yang kita boleh lakukan dan rancangan ke hadapan, bukan sekadar persepsi,” katanya lagi.
Dengan kepelbagaian komuniti, pelaburan berskala besar dan perbezaan pendapatan yang ketara, Kota Iskandar menjadi kawasan yang mencerminkan cabaran pembangunan semasa.
Bagi Pandak, fokus kekal kepada usaha memastikan pembangunan yang dilaksanakan dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di kawasan tersebut.
DUN Kota Iskandar yang mempunyai kira-kira 131,000 pengundi berdaftar, disahkan muncul antara kerusi terbesar di Johor dari segi saiz elektoral bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Saingan di kubu saiz mega ini menyaksikan Pandak sebagai penyandang berdepan pertembungan sengit empat penjuru.
Beliau ditentang hebat oleh mantan Ahli Dewan Negeri kawasan itu yang juga bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor, Dzulkefly Ahmad daripada Pakatan Harapan (PH).
Turut merebut mandat di kerusi panas berkenaan ialah calon Perikatan Nasional (PN), S Anna Pravina, serta Sahrudin Omar yang mewakili Parti Bersama Malaysia.