Skip to main content

Malaysia

MetMalaysia nafi tawaran perolehan kerja, perkhidmatan melalui media sosial

MET MALAYSIA
MetMalaysia menafikan dakwaan mengeluarkan sebarang permohonan atau tawaran berkaitan perolehan kerja, pembekalan mahupun perkhidmatan melalui aplikasi media sosial. - Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menafikan dakwaan mengeluarkan sebarang permohonan atau tawaran berkaitan perolehan kerja, pembekalan mahupun perkhidmatan melalui aplikasi media sosial.

MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius perkara itu selepas menerima aduan mengenai individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pegawai jabatan berkenaan untuk menawarkan urusan perolehan yang tidak wujud.

"Jabatan tidak pernah mengeluarkan sebarang permohonan atau tawaran seumpama itu melalui aplikasi media sosial seperti WhatsApp atau Telegram, mahupun melalui e-mel selain daripada e-mel rasmi jabatan," menurut kenyataan itu.

MetMalaysia turut membuat laporan polis berhubung perkara tersebut dan menyarankan orang ramai yang menjadi mangsa atau menerima permohonan mencurigakan agar segera membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

Semua urusan perolehan MetMalaysia dilaksanakan secara rasmi hanya melalui Sistem ePerolehan mengikut tatacara dan peraturan perolehan kerajaan yang berkuat kuasa.

"Orang ramai, syarikat dan pembekal dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta membuat semakan terlebih dahulu terhadap kesahihan sebarang tawaran atau permohonan yang dikaitkan dengan MetMalaysia," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement