Skip to main content

Malaysia

The Magnificent Baling 2026 sasar perkukuh kedudukan sebagai destinasi larian denai bertaraf dunia

Pengarah Urusan, Smartfix Pro Centre, Muhammad Zulfadhli Taha (tiga kiri) menjadi penaja rasmi Cultural Jam@TMB100 dengan kerjasama Baling Escapade Festival 2026.
Pengarah Urusan, Smartfix Pro Centre, Muhammad Zulfadhli Taha (tiga dari kiri) menjadi penaja rasmi Cultural Jam@TMB100 dengan kerjasama Baling Escapade Festival 2026.

ALOR SETAR: The Magnificent Baling 100 (TMB100) 2026 bakal kembali dengan penganjuran lebih besar dan meriah dalam usaha memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara acara larian denai (ultra trail) paling berprestij di Malaysia serta destinasi pilihan pelari lasak dari seluruh dunia.

Penganjur merangkap Pengarah Urusan Ten Senses (M) Sdn Bhd, Mohd Bukhari Ismail berkata, acara itu bukan sahaja menawarkan cabaran laluan ekstrem kepada para peserta, malah menjadi platform penting dalam mempromosikan daerah Baling sebagai destinasi sukan pelancongan bertaraf antarabangsa.

Menurut beliau, TMB100 yang terkenal dengan laluan mencabar merentasi panorama gunung batu kapur ikonik dan hutan tropika yang memukau menjadikan pengalaman larian di Baling unik dan sukar ditandingi di lokasi lain.

“Dengan kos penganjuran dianggarkan hampir RM2 juta, TMB100 2026 dijangka memberi impak ekonomi sehingga RM7.8 juta kepada kawasan setempat menerusi kehadiran kira-kira 11,400 pengunjung serta 4,200 peserta dari dalam dan luar negara.

“Limpahan ekonomi ini akan dinikmati pelbagai pihak termasuk peniaga kecil, usahawan tempatan, pengusaha inap desa, pemandu e-hailing dan pemain industri pelancongan di sekitar Baling,” katanya pada sidang media, di sini, pada Khamis.

Acara yang berlangsung selama dua hari bermula 31 Julai itu turut dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan sukan lasak dan industri pelancongan negeri Kedah secara keseluruhan.

Hadir sama pada sidang media berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin; Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Kedah, Muhamad Radhi Mat Din serta Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya.

Mohd Bukhari berkata, pihaknya menghargai sokongan pelbagai penaja yang membantu menjayakan penganjuran memasuki tahun keempat itu.

Beliau menjelaskan, TMB100 bukan sekadar perlumbaan untuk memburu garisan penamat tetapi sebuah platform yang membuka peluang kepada komuniti tempatan, mempromosi Kedah ke peringkat global serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

“Ia juga menjadi medan meraikan seni, budaya dan warisan tempatan sambil membina legasi yang berkekalan untuk generasi akan datang. Bersama-sama kita mengangkat Baling sebagai destinasi yang dikenali dan dihormati jauh melangkaui sempadan Malaysia,” katanya.

Festival budaya meriahkan TMB100

Sementara itu, Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal berkata, penganjuran TMB100 tahun ini turut diserikan dengan The Cultural Jam yang diadakan buat pertama kali menerusi kerjasama bersama Baling Escapade Festival (BEF) 2026.

Menurut beliau, festival berkenaan mendapat sokongan Smartfix Pro Centre sebagai penaja rasmi dan bertujuan menambah kemeriahan acara selain mewujudkan peluang ekonomi kepada usahawan setempat.

Katanya, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai program seni dan budaya serta hidangan tradisional menerusi penganjuran Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta yang mengetengahkan identiti unik masyarakat tempatan.

Beliau berkata, inisiatif itu turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Kedah, Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kedah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Majlis Daerah Baling.

Dengan gabungan elemen sukan, pelancongan, budaya dan keusahawanan, TMB100 2026 dilihat berpotensi menjadi antara festival gaya hidup dan sukan lasak terbesar di utara tanah air, sekali gus meletakkan Baling di peta antarabangsa sebagai destinasi wajib dikunjungi pencinta aktiviti luar dan pengembaraan.

Must Watch Video

Advertisement