Skip to main content

Politik

[KOLUMNIS] Perikatan Barisan Nasional: Nama dan simbol baharu atau penurunan status?

Hamzah Zainudin
Hamzah mungkin berniat merapatkan jurang antara dua gabungan, namun akar umbi BN boleh membaca cadangan itu sebagai simbol "penurunan taraf".

CADANGAN Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menjenamakan kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN) bukan sekadar soal memilih nama. Dalam ilmu politik, penjenamaan ialah satu bentuk komunikasi kuasa. Susunan nama, simbol dan identiti membawa mesej yang jauh lebih besar daripada sekadar estetika. Justeru, persoalan yang wajar ditanya ialah: mengapa "Perikatan" diletakkan di hadapan, sedangkan "Barisan Nasional" berada di belakang?

Dari perspektif psikologi politik, susunan itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa PN merupakan paksi utama, manakala BN sekadar pelengkap. Dalam mana-mana proses penggabungan organisasi, pihak yang namanya muncul di hadapan lazimnya dianggap memiliki dominasi politik, ideologi dan kepimpinan. Persepsi inilah yang boleh mencetuskan kegelisahan dalam kalangan penyokong UMNO dan BN yang selama lebih lima dekad melihat Barisan Nasional sebagai jenama politik terbesar negara.

Ironinya, Hamzah mungkin berniat merapatkan jurang antara dua gabungan. Namun dalam komunikasi politik, niat tidak semestinya diterjemahkan sebagai persepsi. Akar umbi BN boleh membaca cadangan itu sebagai simbol "penurunan taraf" sebuah jenama yang pernah membentuk kerajaan selama 61 tahun. Hakikat bahawa BN kini lebih kecil daripada era kegemilangannya tidak bermaksud nilai sejarah dan sentimental jenamanya telah hilang. Dalam politik, memori kolektif sering lebih kuat daripada realiti semasa.

Sejarah politik Malaysia sendiri mengajar bahawa kegagalan sesuatu gabungan jarang berpunca daripada nama. Muafakat Nasional runtuh bukan kerana jenamanya lemah, tetapi kerana kegagalan menyelesaikan konflik kepimpinan, perebutan kerusi dan krisis kepercayaan. Menukar nama tanpa menyelesaikan masalah asas hanyalah menukar kulit, bukan mengubah isi.

Jika PBN mahu menjadi formula kemenangan menuju PRU16, ia perlu menawarkan sesuatu yang lebih besar daripada penyatuan matematik kerusi. Rakyat sedang mencari kredibiliti, integriti dan kepimpinan yang mampu mengangkat semula keyakinan terhadap institusi politik. Gabungan itu juga perlu berani menampilkan barisan kepimpinan yang bebas daripada liabiliti skandal serta mempunyai agenda ekonomi dan tadbir urus yang jelas.

Dalam politik, jenama yang kuat bukan dibina melalui singkatan yang sedap didengar, tetapi melalui kepercayaan yang konsisten. Jika PBN sekadar menjadi nama baharu kepada wajah lama, ia akan mengulangi nasib Muafakat Nasional. Namun jika ia benar-benar menjadi simbol pembaharuan politik, maka susunan nama akhirnya tidak lagi menjadi isu.

Persoalan sebenar bukanlah sama ada rakyat mampu menerima nama Perikatan Barisan Nasional, tetapi sama ada Barisan Nasional sendiri sanggup menerima hakikat bahawa meletakkan namanya di belakang mungkin membawa mesej yang lebih besar daripada yang disedari oleh pencetus idea tersebut.


*Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri adalah penganalisis politik dan Konsultan Kanan, Global Asia Consulting.

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video

Advertisement