KUALA LUMPUR: Pendekatan politik yang berasaskan konflik dan persaingan melampau perlu disesuaikan dengan landskap politik semasa bagi memastikan hubungan antara parti yang bekerjasama dalam kerajaan tidak terjejas selepas pilihan raya.
Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Sivamurugan Pandian, berkata usaha meraih sokongan pengundi sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada elemen propaganda, penjenamaan dan pemasaran politik.
Bagaimanapun, penganalisis politik itu berkata, pendekatan itu perlu dilaksanakan secara berhemah tanpa mengorbankan hubungan antara parti yang menjadi rakan dalam kerajaan.
"Kita tidak boleh menafikan akan wujud konflik kerana setiap parti berusaha memenangi sokongan pengundi. Namun, pendekatan politik yang masih berteraskan amalan konvensional atau tradisional perlu disesuaikan dengan realiti politik semasa.
"Propaganda, penjenamaan dan pemasaran politik masih penting dalam usaha mempengaruhi sentimen serta persepsi pengundi. Itu adalah sebahagian daripada strategi politik di mana-mana negara," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Jumaat.
Sivamurugan bagaimanapun menegaskan, politik Malaysia perlu bergerak ke arah budaya politik yang lebih matang dengan mengambil kira realiti kerjasama antara parti-parti politik.
Katanya, corak kerjasama politik boleh berbeza mengikut konteks sesuatu pilihan raya, namun yang lebih penting ialah kewujudan ruang toleransi bagi mengelakkan persaingan yang terlalu taksub kepada kepentingan parti.
"Jangan sampai persaingan politik menyebabkan parti sanggup menyerang atau 'menikam' rakan sendiri sehingga menjejaskan perkongsian politik yang wujud di peringkat Persekutuan.
"Parti-parti ini masih diperlukan untuk meneruskan kerjasama dalam mentadbir kerajaan selepas pilihan raya," katanya.
Sivamurugan berkata, strategi dan pendekatan kempen juga perlu diteliti agar tidak menjejaskan hubungan pasca pilihan raya.
"Jika kempen terlalu agresif dan menyerang rakan politik secara keterlaluan, ia boleh menjejaskan kepercayaan serta meningkatkan risiko keretakan dalam kerjasama politik yang sedia ada," katanya.