Skip to main content

Malaysia

Tiada peraturan baharu berhubung pernyataan awam oleh pegawai awam - JPA

51727329120_JPA.jpg
Surat Edaran yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 19 Jun tahun lepas, bertujuan untuk memperjelas pelaksanaan peraturan berhubung pernyataan awam oleh pegawai awam mengikut perkembangan teknologi komunikasi dan penggunaan media sosial semasa. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Surat Edaran yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 19 Jun tahun lepas, bertujuan untuk memperjelas pelaksanaan peraturan berhubung pernyataan awam oleh pegawai awam mengikut perkembangan teknologi komunikasi dan penggunaan media sosial semasa.

JPA dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa surat edaran tersebut, tidak memperkenalkan peraturan baharu, sebaliknya memperjelas pelaksanaan Subperaturan 19(1) dan 19(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (P.U.(A.) 395/1993), dalam landskap komunikasi digital yang semakin berkembang.

Menurut kenyataan itu, peraturan mengenai pernyataan awam oleh pegawai awam bukanlah suatu perkara baharu, sebaliknya telah berkuat kuasa sejak tahun 1993 melalui P.U.(A.) 395/1993.

“Peraturan ini bertujuan memastikan penyampaian maklumat berkaitan urusan kerajaan dibuat secara tepat, bertanggungjawab dan selaras dengan tatacara yang ditetapkan.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan penyampaian dasar kerajaan kekal jelas dan konsisten, serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

JPA turut memaklumkan bahawa bahawa kerajaan menghormati hak setiap individu untuk menyuarakan pandangan, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang undang yang berkuat kuasa.

Namun, jabatan itu menegaskan hak tersebut hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab dan tidak boleh disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah, fakta yang tidak benar atau melakukan apa-apa perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang.

“Bagi pegawai awam, pelaksanaan hak tersebut turut tertakluk kepada undang-undang, peraturan serta tata kelakuan perkhidmatan yang berkuat kuasa, termasuk Aku Janji yang ditandatangani semasa memasuki perkhidmatan awam. 

“Perkhidmatan awam yang profesional menuntut keseimbangan antara hak dan tanggungjawab. 

Menurut kenyataan itu, pematuhan kepada undang-undang serta peraturan perkhidmatan, merupakan asas penting dalam memastikan institusi perkhidmatan awam terus berintegriti, berkecuali dan diyakini rakyat.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook dalam satu hantaran mendakwa surat edaran berkenaan disebarkan dalam kalangan petugas Kementerian Kesihatan.

Hantaran itu turut mengajukan soalan jika surat edaran tersebut berbaur ugutan, peringatan atau pemberitahuan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement