Skip to main content

Malaysia

PM ucap tahniah, sifatkan kejayaan Aliff bukti kemampuan anak muda Malaysia di pentas dunia

The ALIFF ERA has begun 🏆 Can the Malaysian-Thai sensation unify the belts against Prajanchai? @aliff_rakib_ IG onechampionship
Aliff Rakib mencipta sejarah apabila muncul petarung Malaysia pertama merangkul gelaran dunia ONE Championship selepas menewaskan legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao, bagi merebut Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight pada acara ONE: The Inner Circle 23. - Foto Instragram/@ONEChampionship

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada jaguh Muay Thai negara, Aliff Rakib, atas kejayaannya melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama meraih gelaran dunia di ONE Championship.

Menerusi satu hantaran di media sosial pada Jumaat, Anwar berkata kejayaan Aliff bukan sahaja mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa, malah membuktikan anak muda Malaysia memiliki keupayaan, keberanian dan iltizam untuk bersaing dengan terbaik dunia.

"Kejayaan ini bukan sekadar mengharumkan nama negara, malah membuktikan bahawa anak muda Malaysia memiliki keupayaan, keberanian dan iltizam untuk bersaing serta mencipta kejayaan di pentas dunia," katanya.

Beliau turut berharap pencapaian bersejarah itu menjadi inspirasi kepada lebih ramai golongan muda untuk terus mengejar cita-cita dengan tekad, disiplin dan semangat juang yang tinggi.

"Yakinlah, tiada yang mustahil apabila usaha disertai kesungguhan dan tawakal. Syabas, Aliff. Malaysia berbangga dengan kejayaan ini," kata Perdana Menteri.

Aliff Rakib mencipta sejarah apabila muncul petarung Malaysia pertama merangkul gelaran dunia ONE Championship selepas menewaskan legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao, bagi merebut Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight pada acara ONE: The Inner Circle 23, malam ini.

Aksi yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok, itu menyaksikan Aliff yang lebih dikenali sebagai Aliff Sor Dechapan menumpaskan lawannya menerusi knockout pada pusingan kelima.
 

Must Watch Video

Advertisement