KUALA LUMPUR: Jelajah Angkatan Muda Keadilan (AMK) Gen Z yang akan digerakkan ke seluruh negara tidak mempunyai kaitan dengan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya merupakan usaha berterusan untuk mendekati dan menghimpunkan golongan muda.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, program berkenaan antara inisiatif berkala yang dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memperkenalkan perjuangan parti serta membuka ruang penyertaan kepada generasi muda.
"Ini adalah program berkala yang diadakan dari masa ke masa. Namun, apabila jumlah penyertaan kali ini begitu ramai, ia menjadi sesuatu yang luar biasa dan menjadi titik tolak untuk kita mengadakan jelajah ke seluruh negara.
"Ia bukan berkaitan dengan PRU atau PRN, tetapi merupakan proses berterusan untuk meningkatkan sokongan dan memperkenalkan parti dalam kalangan Gen Z," katanya selepas ditemui pada Program Generasi Muda Suara Baharu di Dewan Sivil, Petaling Jaya, pada Jumaat.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Fahmi memaklumkan seramai 3,075 anggota baharu menyertai parti itu hari ini, dengan majoritinya terdiri daripada golongan muda dalam AMK.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, jumlah penyertaan itu menunjukkan penerimaan positif golongan muda terhadap agenda reformasi serta memberikan keyakinan baharu kepada parti untuk terus mendekati Gen Z.
"Ini merupakan satu program yang sangat memberangsangkan dan membuktikan keterbukaan serta penerimaan parti dalam kalangan generasi muda.
"Seperti yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas ini satu Jelajah AMK Gen Z akan diadakan di seluruh negara bagi mengumpulkan kekuatan baharu dalam kalangan anak muda yang berminat untuk bersama dalam arus perjuangan reformasi," katanya.
Beliau menjelaskan jelajah itu juga bertujuan menghimpunkan anak muda yang ingin terlibat dalam politik serta menjadi sebahagian daripada generasi pelapis perjuangan parti.