Skip to main content

Bisnes

AirAsia X tangguh laluan KL-Bahrain-London hingga Mac 2027

Sumber: X/Airbus Newsroom
Benyamin berkata, keselamatan serta kebajikan penumpang dan kru kekal sebagai keutamaan tertinggi AirAsia X. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: AirAsia X menangguhkan pelancaran penerbangan Kuala Lumpur-Bahrain-London Gatwick yang dijadual bermula 27 Ogos ini susulan ketidakstabilan geopolitik yang berpanjangan di Asia Barat.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi laluan berkenaan kini dijangka dimulakan pada Mac 2027, tertakluk kepada perkembangan situasi operasi dan keadaan pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, keputusan itu dibuat selepas syarikat menjalankan penilaian menyeluruh terhadap persekitaran operasi semasa.

“Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira faktor keselamatan dan operasi yang masih berterusan, dengan keselamatan serta kebajikan penumpang dan kru kami kekal sebagai keutamaan tertinggi.

“Ia juga selaras dengan tindakan beberapa syarikat penerbangan lain yang telah mengurangkan atau menggantung operasi di rantau berkenaan,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsi kepada Astro AWANI hari ini.

Pada masa sama, Benyamin berkata, Bahrain kekal sebagai destinasi penting dalam strategi rangkaian jangka panjang AirAsia X dan syarikat berharap dapat memulakan operasi apabila persekitaran operasi mengizinkan.

“Kami berharap dapat melancarkan perkhidmatan ke destinasi itu apabila persekitaran operasi kembali selamat dan kondusif,” katanya lagi.

Syarikat itu turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang dan menegaskan komitmennya untuk terus menyediakan perkhidmatan penerbangan yang selamat, mampu milik dan boleh dipercayai.

Semua penumpang yang terjejas akan dimaklumkan dan diberikan pilihan pemulihan perkhidmatan (Service Recovery Options), termasuk bayaran balik penuh ke kaedah pembayaran asal atau kredit akaun bernilai penuh tempahan dengan tempoh sah selama 730 hari.

Must Watch Video

Advertisement