Skip to main content

Bisnes

Harga Brent kekal lebih AS$100 setong jika kapal, prasarana tenaga terus diserang - OCBC

U.S. and Iranian flags, 3D printed oil barrels and rising stock graph are seen in this illustration taken March 23, 2026. REUTERS/Dado Ruvic/Illustration
Sebarang serangan ke atas kapal tangki atau prasarana tenaga di Asia Barat berpotensi mengekalkan harga minyak mentah Brent melebihi AS$100 setong. - Gambar hiasan/Reuters

KUALA LUMPUR: Sebarang serangan ke atas kapal tangki atau prasarana tenaga di Asia Barat berpotensi mengekalkan harga minyak mentah Brent melebihi AS$100 setong, menurut OCBC Group Research.

Dalam laporan petunjuk komoditinya hari ini, OCBC Research memaklumkan serangan yang kembali memuncak di rantau itu telah mendorong lonjakan harga minyak global, termasuk Brent yang menguji semula nilai ambang harga AS$100 setong selepas mencecah seketika paras sebelum konflik sekitar AS$70 setong.

“Risiko unjuran kami terhadap harga itu adalah seimbang walaupun lebih cenderung untuk meningkat. Lonjakan aliran minyak sebelum serangan terbaharu ini turut menghidupkan semula naratif lebihan bekalan untuk seketika.

“Ini juga menunjukkan harga susut cepat sekiranya aspek diplomasi itu dapat dihidupkan semula, sekali gus memberi jaminan laluan yang selamat menerusi Selat Hormuz.

“Bagaimanapun, sebarang serangan lanjut ke atas prasarana Asia Barat boleh menyebabkan harga Brent kekal melebihi paras AS$100 setong sebagaimana dilihat pada fasa paling memuncak konflik itu,” menurutnya.

OCBC Research juga menyifatkan harga produk bertapis, terutama gasolin dan diesel, telah melonjak ketara berbanding harga minyak mentah.

“Keadaan ini lebih memberi kesan langsung kepada pengguna dan inflasi. Pengurangan aliran bekalan melalui Selat Hormuz selain gangguan di kilang penapisan minyak di Rusia, telah menjadikan bekalan diesel lebih terhad serta meningkatkan margin penapisan,” menurutnya.

Berikutan itu, OCBC Research menjangkakan negara-negara Kerjasama Teluk (GCC) mengutamakan prasarana tenaga tambahan menjadi alternatif kepada Selat Hormuz, mengembangkan projek-projek sedia ada seperti Saluran Paip Timur-Barat Arab Saudi dan Saluran Paip Minyak Mentah Abu Dhabi Emiriah Arab Bersatu (ADCOP).

“Laporan baru-baru ini menyatakan saluran kedua ADCOP berkemungkinan besar memulakan operasi menjelang 2027 manakala Arab Saudi pula telah memulakan perbincangan awal mengenai usaha mengembangkan lagi kapasiti Saluran Paip Timur-Barat.

“Laluan alternatif sedia ada misalnya telah membantu Arab Saudi dan UAE mengalihkan sebahagian daripada eksport apabila Selat Hormuz ditutup,” menurutnya.

OCBC Research menyatakan Kuwait, Qatar dan Bahrain sebaliknya tidak mempunyai alternatif sesuai dan terpaksa bertindak menggantung operasi pelabuhan masing-masing susulan penutupan Selat Hormuz.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement