Skip to main content

Dunia

Tarif baharu AS beri "momentum positif" kepada EU

41768772470_TariffsEUflag.jpg
EU mengambil maklum secara positif bahawa keputusan ini adalah selaras dengan komitmen tarif AS yang dipersetujui di bawah Kenyataan Bersama EU-AS. - Gambar fail

BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah menzahirkan rasa lega berhubung kadar tarif baharu sebanyak 10 hingga 12.5 peratus yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS) susulan siasatan terhadap isu buruh paksa dalam rantai bekalan barangan dagangan, lapor agensi berita Jerman (dpa).

"EU mengambil maklum secara positif bahawa keputusan ini adalah selaras dengan komitmen tarif AS yang dipersetujui di bawah Kenyataan Bersama EU-AS," kata jurucakap suruhanjaya itu pada Jumaat, merujuk kepada perjanjian tarif yang menetapkan had maksimum tarif AS pada kadar 15 peratus.

Pengumuman AS itu "menetapkan kadar tarif menyeluruh sebanyak 10 peratus bagi EU, serta memperkenalkan semula pengecualian tarif tambahan untuk EU, seperti gabus dan berlian, di samping pengecualian sedia ada bagi pesawat dan alat ganti, ubat-ubatan generik serta ramuan aktif," kata jurucakap itu.

Menurut beliau, perkembangan itu "turut memberikan momentum positif untuk meneruskan usaha meneroka pengecualian tarif selanjutnya serta memperdalam kerjasama dalam pelbagai bidang," sambil menamakan bahan mentah kritikal, keselamatan ekonomi, kecerdasan buatan (AI) dan hal ehwal digital sebagai contoh.

Pada Khamis, AS mengumumkan tarif sebanyak 10 peratus atau 12.5 peratus ke atas barangan import dari 60 rakan dagang, atas alasan kegagalan mereka memperkenalkan dan menguatkuasakan larangan secara berkesan terhadap barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa. Keputusan itu sememangnya telah dijangka secara meluas.

Tarif tambahan berkenaan mula berkuat kuasa pada 12:01 pagi EDT pada Jumaat (0401 GMT).

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement