Skip to main content

Dunia

Ribuan pelaut terkandas di atas kapal di Selat Hormuz - PBB

Sumber: REUTERS
Volker Turk, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia. REUTERS

GENEVA: Sekurang-kurangnya 6,000 pelaut terkandas di atas kapal di Selat Hormuz susulan serangan berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, menurut Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Volker Turk berkata terdapat anak kapal di kira-kira 400 buah kapal yang terkandas di selat itu, yang menjadi pusat konflik antara Washington dan Tehran. 

Beliau menggesa tindakan segera diambil, menurut satu kenyataan media.

Menurut kenyataan itu, sekurang-kurangnya sembilan kapal dengan 93 anak kapal ditinggalkan oleh pemilik masing-masing.

"Pelayar terbabit dibiarkan berada di atas kapal tanpa bekalan makanan, air, bahan api, rawatan perubatan, bekalan elektrik atau saluran komunikasi dengan keluarga mereka," menurut PBB.

PBB menegaskan keadaan terasing dalam tempoh yang lama dan terkandas di zon konflik boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan mental dan fizikal mereka.

Sekurang-kurangnya 17 anak kapal terbunuh sejak bermulanya serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran pada penghujung Februari.

"Pihak yang terlibat dalam konflik perlu segera bekerjasama bagi memudahkan laluan selamat untuk pelaut yang terkandas supaya mereka dapat dipindahkan dan turun dari kapal dengan selamat, di samping memastikan bekalan keperluan kritikal dapat dihantar," menurut kenyataan media PBB.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement