Skip to main content

Dunia

Iran, Pakistan tegaskan komitmen terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau

Sumber: BERNAMA
Dar menyuarakan "kebimbangan mendalam" terhadap ketegangan serantau sejak kebelakangan ini serta menegaskan kepentingan "dialog, sikap menahan diri, usaha meredakan ketegangan oleh semua pihak. - Gambar fail/BERNAMA

ISTANBUL: Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar dan rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi, pada Jumaat menegaskan  komitmen kedua-dua negara untuk bekerjasama demi "keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama di rantau ini", lapor Anadolu Ajansi.

Kedua-dua menteri mengadakan pertemuan di luar Mesyuarat Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di bandar peranginan Cholpon-Ata, Kyrgyzstan dan membincangkan "situasi serantau yang sedang berkembang", menurut kenyataan Kementerian Luar Pakistan.

Dar menyuarakan "kebimbangan mendalam" terhadap ketegangan serantau sejak kebelakangan ini serta menegaskan kepentingan "dialog, sikap menahan diri, usaha meredakan ketegangan oleh semua pihak dan penglibatan diplomatik yang berterusan" bagi mencapai keamanan dan kestabilan yang berkekalan.

Beliau turut menekankan kepentingan meneruskan persefahaman yang dicapai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Islamabad, yang ditandatangani bulan lepas bagi menamatkan peperangan antara Iran dan Amerika Syarikat.

Araghchi pula menghargai "sokongan diplomatik berterusan dan usaha membina" Pakistan dalam menggalakkan keamanan dan keselamatan serantau, selain usaha Islamabad membantu memudahkan kepulangan nelayan serta anak kapal Iran, termasuk mereka yang berada di atas kapal yang ditahan oleh Amerika Syarikat.

Ketegangan serantau memuncak sejak dua minggu lepas setelah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan pada 8 Julai bahawa gencatan senjata yang digariskan dalam MoU Islamabad tidak lagi berkuat kuasa.

Sejak itu, Amerika Syarikat dan Iran saling melancarkan serangan dengan Washington menyasarkan beberapa lokasi di Iran manakala Tehran mendakwa menyerang kemudahan serta aset ketenteraan Amerika Syarikat di beberapa negara di rantau itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement