SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) menerima pakai manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai manifesto bersama, dengan 14 tawaran tambahan merangkumi enam teras utama.
Manifesto bertemakan ‘PN Sepakat Hebatkan Negeri Sembilan’ itu dilancarkan Pengerusi Perikatan Nasional, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, pada majlis pelancaran manifesto gabungan berkenaan di Kompleks Pas (KOMPAS) negeri sembilan di Seremban, malam Sabtu.
Ahmad Samsuri berkata, tawaran itu merupakan sebahagian daripada komitmen gabungan berkenaan untuk membentuk pentadbiran yang lebih cekap dan berteraskan kesejahteraan rakyat sekiranya diberi mandat mentadbir negeri.
Beliau berkata, manifesto itu merangkumi enam teras utama iaitu pentadbiran, belia dan keluarga, ekonomi, kebajikan, pendidikan serta pekerjaan, selaras dengan aspirasi untuk membawa pembangunan yang lebih mampan dan inklusif kepada negeri berkenaan.
“Pada masa sama, kita juga tidak boleh tutup mata realiti yang sedang dihadapi seluruh rakyat Negeri Sembilan, pembangunan yang belum dinikmati secara serentak.
“Manifesto mestilah berlandaskan hakikat sebenar yang bukan sekadar menaburkan sesuatu yang retorik, memadu janji memang manis tetapi boleh jadi racun berbisa jika diingkarinya,”katanya ketika berucap melancarkan manifesto berkenaan.
Dalam pada itu beliau berkata, manifesto yang dibentangkan merupakan pelengkap kepada 88 usaha yang dibentangkan oleh rakan kerjasama, BN malam Jumaat.
Menurutnya persefahaman antara BN-PN lahir hasil perbincangan secara terbuka, sekali gus menyelaraskan aspirasi serta mencari titik persamaan demi membentuk pentadbiran yang lebih inklusif.
“PN terima manifesto BN sebagai manifesto bersama yang mana asasnya manifesto yang dibentangkan BN diperkukuhkan dengan 14 tawaran tambahan sebagai pelengkap bersama untuk bina Negeri Sembilan yang lebih maju,” ujarnya.
Selain itu, dalam usaha memperkasa golongan belia dan institusi keluarga, manifesto itu turut menawarkan penyediaan Rumah Transit Belia untuk graduan serta pasangan baharu berkahwin di samping pelaksanaan Program Pemerkasaan Keluarga Mawaddah.
Bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri, PN menggariskan penerokaan dan pembangunan Pelan Ekonomi Biru Negeri Sembilan, penaiktarafan infrastruktur sokongan industri gas dan minyak serta pembangunan pakej pelaburan baharu melibatkan sektor mineral kritikal, semikonduktor, aeroangkasa, kenderaan elektrik (EV), logistik dan ekonomi digital.
Manifesto itu turut memberi penekanan kepada aspek kebajikan menerusi pemberian Bantuan Prihatin Rakyat kepada isi rumah kategori B40 dan M40 berpendapatan rendah, selain penyaluran dana dan sokongan khas bagi kebajikan serta hal ehwal bukan Islam.
Dalam bidang pendidikan, PN berjanji menaik taraf Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan gunaan, penyelidikan industri serta inovasi, selain memperkasa Sekretariat TVET Negeri melalui pelaksanaan Program Tahfiz TVET.