LABUAN: Road to MAHA Labuan 2026 yang dianjurkan buat julung-julung kalinya telah merekodkan kehadiran 30,837 pengunjung dalam tempoh dua hari pertama, mengatasi sasaran awal 30,000 pengunjung.
Sekretariat Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) memaklumkan sambutan menggalakkan itu turut diterjemahkan kepada jualan yang memberangsangkan, dengan urus niaga mencecah hampir RM800,000 dalam tempoh dua hari pertama daripada acara lima hari itu, sekali gus meletakkan penganjur di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan keseluruhan sebanyak RM1.6 juta.
Kehadiran pengunjung yang amat memberangsangkan itu mencerminkan peningkatan minat masyarakat terhadap sektor pertanian, keterjaminan makanan dan keusahawanan berasaskan agro, selain memperkukuh peranan Labuan sebagai lokasi strategik bagi mempromosikan sektor berkenaan di pulau bebas cukai itu.
“Sambutan yang diterima amat menggalakkan... kita sudah melepasi sasaran pengunjung dengan 30,837 orang dalam tempoh hanya dua hari, manakala jualan mencecah hampir RM800,000, iaitu hampir separuh daripada sasaran RM1.6 juta.
“Pencapaian ini menunjukkan sokongan padu daripada komuniti setempat dan pengunjung, selain komitmen para usahawan serta pempamer yang mengambil bahagian dalam MAHA Labuan,” kata sekretariat kepada Bernama pada Sabtu.
Program Road to MAHA Labuan 2026 dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, JWP serta Perbadanan Labuan (LC) dari 23 hingga 26 Julai.
Sebanyak 184 usahawan agro menyertai program berkenaan, dengan 117 daripadanya dari Labuan, manakala selebihnya dari Sabah, Sarawak, Johor dan Perak, yang mengetengahkan pelbagai produk pertanian, makanan, ternakan serta inovasi berasaskan agro.
Antara tarikan utama ialah pameran ternakan lembu dan kambing oleh Sita Farm yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.
Menurut JWP, program berkenaan turut menjana kesan limpahan ekonomi dengan anggaran 20 peratus manfaat diperoleh pengusaha penginapan, penyedia perkhidmatan pengangkutan, peniaga makanan serta perniagaan dalam rantaian bekalan tempatan.
Jabatan itu berkata kesan gandaan berkenaan menunjukkan sumbangan MAHA Labuan yang melangkaui jualan secara langsung, sekali gus membantu merangsang ekonomi tempatan melalui peningkatan perbelanjaan pengunjung dan aktiviti perniagaan.
MAHA Labuan berlangsung sepanjang hujung minggu ini dengan pelbagai pameran, jualan, demonstrasi serta aktiviti berkaitan pertanian yang bertujuan mempromosikan sektor pertanian di samping memperkukuh keusahawanan dan keterjaminan makanan di Wilayah Persekutuan itu.
-- BERNAMA