Skip to main content

Dunia

Masjid Al-Rahma di Nablus dibakar pendatang haram Israel, 80 warga Palestin ditahan

Sumber: X @PalinfoAr
Pusat Maklumat Palestin yang memetik sumber tempatan mengesahkan tindakan khianat itu dilakukan sepenuhnya oleh kumpulan pendatang haram Yahudi yang menceroboh pekan terbabit. -Foto X

RAMALLAH: Kumpulan pendatang haram Yahudi bertindak membakar Masjid Al-Rahma di pekan Qusra, selatan Nablus, ketika tentera Israel meningkatkan kempen pencerobohan agresif dengan menahan 80 rakyat Palestin di seluruh Tebing Barat yang diduduki.

Beberapa rakaman video dalam talian yang disahkan oleh agensi berita Al Jazeera menunjukkan api marak memusnahkan sebahagian besar struktur rumah ibadat umat Islam berkenaan dalam kejadian pencerobohan terbaharu itu.

 

 

Pusat Maklumat Palestin yang memetik sumber tempatan mengesahkan tindakan khianat itu dilakukan sepenuhnya oleh kumpulan pendatang haram Yahudi yang menceroboh pekan terbabit.

Insiden itu berlaku ketika agensi berita Wafa melaporkan bahawa tentera Israel melancarkan siri tangkapan besar-besaran susulan konflik berdarah terbaharu yang mengorbankan empat warga Palestin serta dua anggota tentera Israel.

Menurut laporan itu, seramai 30 penduduk ditahan di perkampungan Tal, 14 di Ramallah, lapan di Hebron, enam di Tulkarem, lima di Jenin, dan tiga individu lagi di Bethlehem.

Wafa turut melaporkan bahawa unit ketenteraan Israel melancarkan operasi serbuan berskala besar merentasi bandar Jenin serta puluhan pekan dan kampung berhampiran termasuk Zababdeh, Yabad, Burqin, Qabatiya, dan Al-Yamoun.

Sementara itu, saluran penyiaran Israel, Kan melaporkan pihak tentera mengenakan sekatan lalu lintas yang ketat selain mendirikan banyak pusat pemeriksaan keselamatan di jalan-jalan utama serta pekarangan pintu masuk ke perkampungan Palestin di seluruh Tebing Barat.
 

Must Watch Video

Advertisement