KUWAIT CITY: Kementerian Luar Kuwait mengutuk keras serangan berterusan kumpulan Houthi terhadap kapal komersial di Laut Merah serta menegaskan sokongan penuh terhadap langkah Arab Saudi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara itu.
Dalam kenyataan rasmi, kementerian itu menyifatkan serangan yang menyasarkan kapal NCC MASA, milik sebuah syarikat Arab Saudi, ketika belayar di Laut Merah pada Jumaat lalu sebagai pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa.
Kuwait menegaskan bahawa siri serangan tersebut merupakan ancaman langsung terhadap keselamatan dan kebebasan pelayaran maritim, selain menjejaskan perdagangan antarabangsa serta bekalan tenaga global.
Sehubungan itu, Kuwait menyatakan solidariti penuh bersama Riyadh dan menyokong semua langkah yang diambil Arab Saudi bagi melindungi keselamatan, kedaulatan serta kepentingan negara berkenaan.
Kementerian itu turut menegaskan kepentingan mematuhi prinsip undang-undang antarabangsa yang menjamin kebebasan pelayaran dan laluan selamat kapal di perairan antarabangsa.
Serangan terbaru Houthi itu berlaku selepas kumpulan berkenaan mengisytiharkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi minggu lalu.
Riyadh kemudian melancarkan serangan udara ke atas bandar Hodeidah yang dikuasai Houthi, sebelum kumpulan tersebut mendakwa melancarkan serangan balas terhadap kemudahan minyak Arab Saudi.