Skip to main content

Malaysia

Karnival Buku dan Semarak Jawi 2026 tarik kehadiran 50,000 pengunjung

KUALA TERENGGANU, 26 Julai -- Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Haslina Abdul Hamid (tiga, kiri) beramah mesra bersama pelajar sekolah semasa melawat gerai jualan buku pada Majlis Perasmian Karnival Buku Dan Semarak Jawi 2026 di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu hari ini._BERNAMA
Haslina (tiga, kiri) beramah mesra bersama pelajar sekolah semasa melawat gerai jualan buku pada Majlis Perasmian Karnival Buku Dan Semarak Jawi 2026 di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu hari ini. - Gambar Bernama

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 50,000 orang pengunjung dijangka hadir untuk memeriahkan Karnival Buku dan Semarak Jawi 2026 yang berlangsung lapan hari bermula semalam di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu di sini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Haslina Abdul Hamid berkata program anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) itu merupakan satu platform komuniti yang menghimpunkan ilmu, budaya, seni, warisan, pendidikan dan khidmat masyarakat dalam satu ruang terbuka, santai serta inklusif. 

Beliau berkataa karnival tersebut turut menyediakan ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti, menambah koleksi bacaan serta memupuk budaya membaca dalam kalangan anak-anak, keluarga dan komuniti setempat.

"Konsep karnival buku yang diketengahkan amat signifikan kerana kita mahu membawa buku dan ilmu keluar daripada ruang dianggap formal atau eksklusif. Buku tidak harus dilihat sebagai bahan eksklusif atau terbatas kepada ruang formal semata-mata sebaliknya buku perlu hadir dalam kehidupan seharian sama ada di rumah, sekolah, perpustakaan, kafe, ruang awam mahupun platform digital. 

"Pengisian program pada kali ini disusun dengan pendekatan luas dan merentas minat. Pameran dan jualan buku, sesi bersama penulis, Bacaan Kegemaran Saya, forum “Layar vs Lembaran: Evolusi Membaca Generasi Digital“ dan sebagainya merupakan antara usaha yang boleh menjadikan buku lebih dekat, hidup dan bermakna kepada masyarakat," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Buku Dan Semarak Jawi 2026 di sini hari ini.

Selain itu, Haslina berkata Karnival Semarak Jawi 2026 turut menjadi pengisian utama karnival tersebut yang bukan sahaja menjadi platform untuk menyemarakkan kecintaan terhadap ilmu, malah turut berperanan mengangkat martabat tulisan Jawi sebagai warisan bangsa dan khazanah tamadun amat bernilai.

"Karnival Semarak Jawi merupakan program signature PNM yang telah dilaksanakan sejak 2011. Penganjuran di Terengganu tahun ini merupakan edisi kali ke-11, sekali gus membuktikan komitmen berterusan PNM dalam memastikan tulisan Jawi terus dipelihara, dipelajari, dimasyarakatkan dan disesuaikan dengan pendekatan pendidikan semasa. 

Pada masa sama, beliau berkata penganjuran Karnival Buku dan Semarak Jawi 2026 itu juga menyediakan ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti, menambah koleksi bacaan serta memupuk budaya membaca dalam kalangan anak-anak, keluarga dan komuniti setempat.

"Saya tertarik dengan pendekatan didik hibur yang digunakan dalam Karnival Semarak Jawi kali ini. Aktiviti seperti Si Cilik Cerdas Jawi, Bengkel Klinik Dr Jawi, Pencak Aksara Jawi, Kahoot Jawi Challenge, pertandingan mewarna Jawi serta pameran khat bukan sahaja membina kemahiran, malah menjadikan pembelajaran Jawi lebih menyeronokkan, interaktif dan mesra semua peringkat usia.

"Di Terengganu, usaha memartabatkan Jawi dan ilmu mempunyai makna yang sangat besar. Negeri ini memiliki sejarah keilmuan yang hebat, termasuk ketokohan ulama seperti Tok Pulau Manis yang turut diketengahkan melalui wacana khas dalam program ini. Ini membuktikan bahawa warisan bukan sesuatu yang jauh daripada kehidupan kita, sebaliknya harus terus dihidupkan melalui ilmu, penceritaan, pendokumentasian dan penghayatan generasi muda," katanya.

Sehubungan dengan itu, Haslina menyeru seluruh rakyat Terengganu termasuk ibu bapa, guru, pelajar, belia, penjawat awam, komuniti setempat serta pengunjung dari negeri-negeri sekitar supaya hadir beramai-ramai ke Karnival Buku dan Semarak Jawi 2026.

Program itu mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Perpaduan Negara dan Perpustakaan Negara Malaysia dalam memperkasa budaya membaca sebagai asas pembinaan masyarakat berpengetahuan, inklusif dan bersatu padu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement