Skip to main content

Malaysia

DBKL lancar operasi, kontraktor korek jalan tak ikut SOP dikompaun

[TB]_OP KOREKAN_FB Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
DBKL memberitahu, pemeriksaan dilakukan bagi memastikan kerja pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur dilaksanakan mengikut syarat serta kelulusan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. - Gambar/ DBKL

KUALA LUMPUR: Empat kontraktor dikenakan tindakan kompaun selepas didapati melakukan pelbagai pelanggaran syarat kerja dalam Operasi Korekan Jalan Awam yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di beberapa lokasi sekitar ibu negara.

Operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan bermula jam 10 malam kelmarin hingga 3 pagi semalam dengan tumpuan diberikan kepada kawasan Jalan Syed Putra, Jalan Tun Sambanthan dan Jalan Taman Setiawangsa.

DBKL menerusi hantaran di laman Facebook memberitahu, pemeriksaan dilakukan bagi memastikan kerja pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur dilaksanakan mengikut syarat serta kelulusan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

"Antara kerja yang dipantau termasuk pemasangan paip, penurapan jalan, pembaikan longkang serta kerja utiliti melibatkan bekalan air, elektrik dan talian telekomunikasi.

"Hasil pemeriksaan di lima tapak mendapati empat kontraktor gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), sekali gus menyebabkan sebanyak 12 notis kompaun dikeluarkan.

"Kesalahan yang dikesan termasuk kegagalan menyediakan lampu amaran berkelip, tidak menempatkan pengawal lalu lintas, selain menyebabkan kerosakan pada laluan pejalan kaki.

"Turut dikesan ialah tindakan menutup jalan tanpa kebenaran, menggunakan jentera berat berantai di atas jalan awam serta mengangkut bahan binaan menggunakan lori tanpa permit yang sah sehingga mengotorkan laluan awam," katanya.

DBKL memaklumkan empat kompaun dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1997, manakala lapan lagi kompaun dikenakan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Dalam operasi sama, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut mengeluarkan enam notis mengarahkan kontraktor hadir serta mengemukakan maklumat berhubung kerja pembinaan yang dijalankan tanpa kelulusan atau kebenaran sewajarnya.

DBKL menegaskan operasi seumpama itu akan diteruskan secara berkala bagi memastikan semua kerja korekan dan pembinaan mematuhi peraturan ditetapkan, selain menggesa orang ramai menyalurkan sebarang aduan berkaitan melalui saluran rasmi pihak berkuasa tempatan.

Must Watch Video

Advertisement