Skip to main content

Malaysia

Glasgow 2026: Skuad bola keranjang 3x3 lakar sejarah, raih tiga kemenangan berturut-turut

GLASGOW, 25 Julai – Pemain negara Chong Zhen Yang (kanan) diasak pemain Fiji pada perlawanan kumpulan B bola keranjang 3x3 menentang Fiji sempena temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 di SEC Armadillo hari ini.  Malaysia menang dengan keputusan 21-16.  -- fotoBERNAMA (2026) HAKCIPTA TERPELIHARA
Tiga kemenangan berturut-turut itu meletakkan Malaysia dalam kedudukan terbaik untuk memburu slot ke peringkat kalah mati. - Gambar/ Bernama

GLASGOW: Skuad bola keranjang 3x3 lelaki negara mencipta sejarah pada penampilan pertama di Sukan Komanwel apabila melakar tiga kemenangan berturut-turut dalam aksi Kumpulan B di Scottish Event Campus (SEC) di sini hari ini.

Dibarisi Chong Zhen Yang, Chang Zi Fueng, Ting Chun Hong dan Ooi Xian Fu, skuad negara memulakan kempen Glasgow 2026 dengan bergaya apabila menewaskan Fiji 21-16, sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama Malaysia di temasya Glasgow 2026.

Kejayaan bersejarah itu menyuntik semangat skuad negara untuk meneruskan rentak cemerlang apabila menewaskan Kenya 21-15 sebelum menutup aksi hari pertama dengan satu lagi kemenangan 21-15 ke atas Singapura, sekali gus mengekalkan rekod sempurna selepas mengharungi tiga perlawanan.

Tiga kemenangan berturut-turut itu meletakkan Malaysia dalam kedudukan terbaik untuk memburu slot ke peringkat kalah mati, selain terus menghidupkan sasaran pasukan mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama England, Fiji, Jamaica, Kenya dan Singapura.

Skuad negara akan meneruskan saingan Kumpulan B berdepan England sebelum menamatkan kempen peringkat kumpulan menentang Jamaica, dengan kedua-dua perlawanan dijadual berlangsung esok.

Berdasarkan format pertandingan, juara setiap kumpulan layak ke separuh akhir, manakala pasukan yang menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga perlu mengharungi aksi suku akhir.

Acara bola keranjang 3x3 mula dipertandingkan pada temasya di Birmingham 2022.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement