Skip to main content

Teknologi

Facebook uji paparan video skrin penuh mirip TikTok

Kebelakangan ini, lebih ramai menghabiskan masa dengan mengikuti perkongsian video – tidak kira sama ada di YouTube, Instagram mahupun TikTok. Menyedari perubahan kaedah penggunaan ini, kini Facebook menyatakan mereka kelak akan memulakan ujian untuk paparan utama skrin aplikasi mudah-alih Facebook, dengan memaparkan kandungan video skrin penuh – lebih kurang seperti pada TikTok.
Facebook berkata fasa ujian awal akan dilaksanakan secara berperingkat lewat tahun ini di beberapa pasaran antarabangsa yang mempunyai penggunaan kandungan video yang tinggi. -Foto Amanz

SAN FRANCISCO: Platform media sosial Facebook mengumumkan rancangan untuk menguji paparan utama baharu bagi aplikasi mudah alihnya yang memfokuskan kandungan video skrin penuh, menyerupai pengalaman penggunaan yang popular di TikTok.

Langkah syarikat induk Meta itu dibuat susulan perubahan corak penggunaan digital apabila semakin ramai pengguna meluangkan lebih banyak masa menonton video pendek dalam talian, lapor Amanz.

Menerusi ciri baharu tersebut, pengguna yang terpilih dalam program ujian akan dipaparkan aliran video skrin penuh sebaik sahaja membuka aplikasi Facebook, dengan kandungan dipilih menerusi sistem cadangan platform dan boleh ditatal ke atas atau ke bawah untuk menonton video seterusnya.

Facebook berkata fasa ujian awal akan dilaksanakan secara berperingkat lewat tahun ini di beberapa pasaran antarabangsa yang mempunyai penggunaan kandungan video yang tinggi.

Pelaksanaan lebih meluas, termasuk ke Amerika Syarikat, hanya akan dipertimbangkan selepas penilaian dibuat terhadap keputusan ujian tersebut.

Bagaimanapun, Facebook menegaskan reka bentuk baharu itu diperkenalkan secara berfasa bagi memastikan pengalaman pengguna sedia ada terus terpelihara, selaras dengan kedudukannya sebagai antara platform media sosial terbesar dunia yang telah beroperasi lebih dua dekad.

Menurut syarikat itu, pengguna yang terlibat dalam ujian boleh memilih untuk tidak menyertai ciri baharu tersebut, manakala fungsi Feed tradisional akan terus dikekalkan sebagai tab kedua dalam aplikasi.

Pendekatan itu dilihat sebagai usaha Meta untuk memperkukuh kedudukan Facebook dalam persaingan mendapatkan perhatian pengguna yang semakin cenderung kepada kandungan video pendek di platform seperti TikTok dan YouTube.

 

Must Watch Video

Advertisement