BERLIN: Juara dunia Lando Norris dari McLaren menghalang Ferrari daripada menyapu bersih kedudukan teratas dalam semua sesi latihan Grand Prix Formula Satu Hungary pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Norris mencatat masa satu minit 17.939 saat di litar Hungaroring sepanjang 4.381 kilometer, mengatasi Lewis Hamilton dari Ferrari dengan kelebihan 0.117 saat dan pendahulu kejuaraan Kimi Antonelli dari Mercedes dengan 0.129 saat.
Perbezaan masa yang tipis itu menjanjikan sesi kelayakan yang sengit pada lewat Sabtu menjelang perlumbaan Ahad.
Ferrari mendominasi kedua-dua sesi pada Jumaat, dengan Charles Leclerc mencatat masa terpantas pada sesi pertama dan Hamilton pada sesi kedua.
Antonelli tidak menyertai sesi pembukaan bagi memberi peluang kepada pemandu simpanan Fred Vesti memandu jenteranya dan hanya mencatat masa ke-13 terpantas pada sesi kedua, namun bangkit dengan prestasi kukuh pada Sabtu dalam keadaan cuaca panas.
Rakan sepasukan Antonelli di Mercedes, George Russell berada di tempat keenam dengan ketinggalan lebih enam persepuluh saat, diikuti bekas juara dunia berbilang kali Max Verstappen dari Red Bull di tempat ketujuh.
Sesi itu dihentikan selama beberapa minit dengan bendera merah selepas Sergio Perez terpaksa memberhentikan jentera Cadillac di tepi litar dipercayai akibat masalah brek.
Antonelli memenangi perlumbaan di Austria minggu lepas untuk kemenangan keenamnya musim ini dan mendahului kejuaraan dengan kelebihan 45 mata ke atas Hamilton. Russell pula ketinggalan 50 mata di belakang Antonelli.
-- BERNAMA-dpa