Skip to main content

Dunia

Kebakaran hutan paksa kompleks rangkaian angkasa lepas NASA di Sepanyol dikosongkan

Satellite imagery shows smoke rising from two large wildfires in Avila, Castile And Leon, Spain July 24, 2026. European Union/Copernicus Sentinel-2/Handout via REUTERS THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY. MANDATORY CREDIT.
Stesen penjejakan di Sepanyol yang terletak di kawasan berbukit hampir 65 kilometer ke barat pusat Madrid itu dikosongkan pada Jumaat berikutan kebakaran hutan yang masih berlaku di wilayah berkenaan. - Gambar fail/REUTERS

MADRID: Kebakaran hutan yang merebak pantas, antara beberapa kebakaran yang sedang melanda Sepanyol, menghampiri Kompleks Komunikasi Angkasa Lepas Madrid pada Jumaat, memaksa premis itu dikosongkan dan operasi satu daripada stesen penjejakan terpenting NASA digantung sementara, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Stesen penjejakan itu adalah sebahagian daripada Rangkaian Angkasa Lepas NASA (Deep Space Network), yang beroperasi bersama kemudahan serupa di California dan Australia bagi menyediakan liputan global ketika putaran Bumi menyebabkan planet, bintang dan kapal peneroka angkasa lepas silih berganti berada dalam dan di luar jangkauan.

Jurucakap NASA mengesahkan stesen penjejakan di Sepanyol yang terletak di kawasan berbukit hampir 65 kilometer ke barat pusat Madrid itu dikosongkan pada Jumaat berikutan kebakaran hutan yang masih berlaku di wilayah berkenaan.

“Sebarang kemungkinan kerosakan akan dinilai apabila keadaan selamat untuk berbuat demikian,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan.

Rangkaian Angkasa Lepas itu diuruskan oleh Program Komunikasi dan Navigasi Angkasa NASA serta Makmal Pendorongan Jet NASA.

“Sementara itu, agensi telah memindahkan sokongan operasi misi dengan lancar ke Kompleks Komunikasi Angkasa Lepas Goldstone di California bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan sokongan komunikasi kapal angkasa tidak terganggu,” kata jurucakap NASA.

“Keselamatan dan kesejahteraan kakitangan kami adalah keutamaan tertinggi dan ingatan kami bersama keluarga serta penduduk sekitar yang turut terjejas akibat kebakaran hutan di komuniti berhampiran,” menurut NASA.

“Kami akan memberikan perkembangan terkini mengikut perubahan keadaan.”

-- BERNAMA-WAM

Must Watch Video

Advertisement