Skip to main content

Dunia

11 pelancong asing ditemukan selamat, kapten Indonesia masih hilang di perairan Gorontalo

Sumber: TANGKAP LAYAR MEDIA SOSIAL
Tangkapan layar daripada video tular menunjukkan kesemua mangsa yang terselamat telah dipindahkan ke sebuah pusat peranginan di Kabupaten Tojo Una-Una, Sulawesi Tengah.

JAKARTA: Seramai 11 pelancong asing dan seorang anak kapal warga Indonesia yang dilaporkan hilang selepas bot laju yang dinaiki mereka terputus hubungan semasa dalam perjalanan ke Wilayah Gorontalo di timur Indonesia telah ditemukan selamat, manakala pihak berkuasa masih meneruskan pencarian kapten bot berkenaan.

Ketua Operasi Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Palu Rusmadi berkata kesemua mangsa yang selamat telah dipindahkan ke sebuah pusat peranginan di Kabupaten Tojo Una-Una, Sulawesi Tengah, manakala usaha mengesan kapten kapal yang dikenali sebagai Ferdiansyah masih dijalankan.

"Mangsa kini berada di Tojo Una-Una, tetapi sama ada mereka akan dipindahkan ke Ampana atau Wakai masih diselaraskan dengan pihak pengurusan pusat peranginan," katanya menurut Agensi Berita Antara pada Sabtu.

Bot laju itu berlepas dari Sanctum Una-Una Dive Resort di Kabupaten Tojo Una-Una, Sulawesi Tengah pada Jumaat menuju ke Pelabuhan Marisa di Wilayah Gorontalo yang berhampiran bersama 11 pelancong asing dan dua anak kapal warga Indonesia sebelum terputus hubungan, sekali gus mencetuskan operasi menyelamat bersama.

Rusmadi berkata Basarnas Palu telah mengerahkan kapal penyelamat KN SAR Bhisma dari Kabupaten Banggai, Sulawesi Tengah, bagi memperkukuh operasi pencarian bersama kapten yang masih hilang itu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement