Skip to main content

Sukan

Malaysia tewas tipis dalam aksi pembukaan bola keranjang kerusi roda 3x3

Sumber: BERNAMA
--fotoBERNAMA

GLASGOW: Harapan skuad bola keranjang kerusi roda 3x3 lelaki negara untuk memulakan kempen pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan langkah kanan tidak kesampaian apabila tewas tipis 13-14 kepada Wales dalam aksi Kumpulan B di sini, semalam.

Malaysia yang dibarisi Muhamad Atib Zakaria, Muhammad Roozaimi Johari dan Freday Tan hampir menamatkan perlawanan mendebarkan itu dengan kemenangan selepas memberikan tentangan sengit sepanjang permainan.

Muhamad Atib berkata pasukan negara sememangnya mengharapkan kemenangan dalam aksi pembukaan bagi meningkatkan keyakinan, namun enggan terus meratapi kekalahan itu.

“Sudah tentu kami mahu menang dalam perlawanan pertama ini, tetapi belum ada rezeki. Percubaan terakhir itu tidak menjadi, namun kami akan fokus kepada dua lagi perlawanan menentang Scotland dan Afrika Selatan.

“Peluang untuk mara masih ada, insya-Allah. Juara kumpulan akan layak terus ke separuh akhir, manakala pasukan di tangga kedua dan ketiga akan beraksi di suku akhir,” katanya ketika ditemui Bernama selepas perlawanan di Scottish Event Campus (SEC) di sini.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan saling berbalas mata dan beberapa kali bertukar kedudukan sebagai pendahulu sebelum Wales yang dibarisi Ben Johnson-Rolfe, Dan May dan Alexander Marshall-Wilson memperoleh mata kemenangan pada penghujung permainan.

Mengulas lanjut, Muhamad Atib berkata skuad negara perlu memperkemas aspek komunikasi dalam dua lagi perlawanan, khususnya ketika melakukan percubaan jaringan agar tidak tergesa-gesa pada saat-saat akhir.

“Saya rasa hari ini kami cuma kurang bernasib baik. Walaupun begitu, saya yakin kami akan bangkit dalam perlawanan seterusnya, insya-Allah,” katanya yang menyumbang 10 mata ketika menentang Wales.

Malaysia akan berdepan tuan rumah Scotland dan Afrika Selatan pada Isnin (27 Julai).

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement