ATHENS: Operasi tentera laut Kesatuan Eropah (EU) ASPIDES pada Jumaat mengemas kini penilaian keselamatannya bagi kawasan Laut Merah susulan serangan Kumpulan Houthi terhadap sebuah kapal tangki minyak Arab Saudi pada awal minggu ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Tahap ancaman di Selat Bab al-Mandab di luar pantai Yaman dan bahagian selatan Laut Merah dinaikkan daripada sederhana kepada tinggi, menurut ibu pejabat misi itu di Larissa, Greece.
Penilaian bagi bahagian utara Laut Merah dan Teluk Aden kekal pada tahap "sederhana".
Menurut misi berkenaan, konflik yang berterusan di rantau itu, khususnya perang yang semakin meluas membabitkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran mengubah keadaan keselamatan dengan ketara, manakala risiko peningkatan konflik kekal tinggi.
"Pasukan Houthi terus mengancam perkapalan komersial yang mungkin dianggap mempunyai kaitan dengan konflik semasa di Asia Barat," menurut kenyataan itu.
Houthi pada Isnin mengisytiharkan "sekatan" terhadap perkapalan bagi Arab Saudi. Pada malam yang sama, sebuah kapal tangki minyak Arab Saudi diserang di Laut Merah sehingga menyebabkan kebakaran di dalam kapal.
Kumpulan itu mendakwa menyerang dua kapal tangki yang melanggar sekatan yang diisytiharkannya, menurut agensi berita Saba.
Misi itu berkata serangan lanjut terhadap kapal dagang tidak boleh diketepikan, sambil menyatakan risiko khusus melibatkan penggunaan peluru berpandu antikapal, kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), kapal permukaan tanpa pemandu serta bot serangan kecil.
Misi EU itu menyeru komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi prosedur keselamatan sedia ada, mengekalkan hubungan dengan pusat keselamatan maritim berkaitan serta mengambil kira situasi ancaman semasa ketika merancang pelayaran.
ASPIDES mengesyorkan kapal mengelakkan sepenuhnya perairan wilayah Yaman dan jika boleh, belayar lebih hampir ke pantai Afrika bagi mengurangkan risiko kemungkinan serangan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres turut menyatakan kebimbangan terhadap perkembangan itu. Beliau berkata amat "bimbang dengan mendalam" berikutan penyambungan semula serangan oleh pasukan Houthi, yang menurutnya boleh meningkatkan lagi ketegangan di rantau berkenaan.
-- BERNAMA-dpa