Skip to main content

Malaysia

Kanak-kanak autistik maut terjatuh dari tingkap pangsapuri

Seorang kanak-kanak perempuan autisme ditemukan maut di tingkat enam sebuah pangsapuri di Ladang Tok Pelam pada Sabtu. SINAR HARIAN
Mangsa ditemui di kawasan tempat letak kenderaan di tingkat enam pangsapuri berkenaan. - Gambar/ Sinar Harian

KUALA TERENGGANU: Ibu kepada kanak-kanak autistik berusia tujuh tahun yang maut selepas dipercayai terjatuh dari inap desa di tingkat 13, Pangsapuri Ladang Tok Pelam, di sini tidak menyangka perasaan tidak sedap hati dialami menjadi petanda pemergian anaknya itu.

Nor Azera Ismail, 36, dari Kampung Lepah, Pasir Puteh, Kelantan berkata sejak malam tadi dia berasa tidak sedap hati memikirkan keselamatan anaknya, Nur Muazzah Aisyah memandangkan tingkap bilik tidur inap desa tersebut tidak mempunyai jeriji.

Susulan itu, Nor Azera berkata dia dan suami Mubi Mat Husin, 38, bercadang untuk mendaftar keluar dan mencari penginapan lain yang lebih selamat pada pagi ini.

"Saya bertolak dari Pasir Puteh, Kelantan selepas solat Jumaat dan tiba di inap desa kira-kira 9.30 malam. Sekitar 12 tengah malam tadi semasa nak tidur, dia dah cuba buka tingkap. Masa itu saya dah rasa tak sedap hati.

"Saya cari sesuatu untuk pastikan keselamatan dia, tetapi tak jumpa tali. Akhirnya saya jumpa reben pada bunga telur dan ikat tangan kami berdua supaya sedar kalau dia bangun atau merayau ke mana-mana," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Nor Azera berkata kejadian tersebut berlaku dengan pantas kerana ketika bangun kira-kira 6 pagi tadi, anak ketiga daripada empat beradik itu masih tidur lena.

Bagaimanapun, ketika sedang bersiap-siap di ruang tamu sekitar 7 pagi tadi dia dikejutkan dengan bunyi ketukan bertalu-talu dari arah pintu utama.

"Ada penghuni lain yang datang tanya sama ada anak perempuan saya yang jatuh. Saya terus bergegas masuk bilik untuk periksa dan bila jenguk ke luar tingkap, saya dapati dia sudah terbaring di kawasan parkir kereta di bawah.

"Saya terus panggil suami dan kami bergegas turun, hanya tuhan yang tahu betapa sedih dan hancurnya perasaan ini. Saya memang dah siap-siap kemas barang untuk keluar dari inap desa ini dan cari tempat lain, tinggal nak kejut anak bangun untuk keluar. Tak sangka jadi begini," katanya.

Nor Azera berkata dia sepatutnya menghadiri seminar keusahawanan pada hari ini dan bercadang untuk pulang ke Kelantan pagi esok.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement