Skip to main content

Malaysia

Keadaan Najib stabil, tidak perlu pasang 'stent'

41770718474_NajibTunRazak.jpg
Najib kini berada dalam keadaan baik dan akan meneruskan proses pemulihan di bawah pengawasan rapi doktor yang merawat. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada dalam keadaan baik selepas menjalani prosedur angiogram koronari hari ini, dan tidak memerlukan angioplasti belon atau pemasangan stent seperti yang dijangkakan sebelum ini.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Tetuan Shafee & Co selaku peguamnya, siri penilaian perubatan yang dijalankan sejak beberapa minggu lalu mengesan penyumbatan pada salur darah koronari yang memerlukan penilaian lanjut menerusi angiogram koronari.

"Berdasarkan penemuan awal itu, pasukan perubatan menganggarkan terdapat kebarangkalian sehingga 95 peratus bahawa Najib akan memerlukan intervensi lanjut dalam bentuk angioplasti belon dan/atau pemasangan stent.

"Bagaimanapun, selepas angiogram koronari dan penilaian menyeluruh selesai dijalankan hari ini, pakar-pakar yang merawat mendapati kedua-dua prosedur berkenaan tidak diperlukan," katanya.

Menurut kenyataan itu, penyumbatan yang dikesan boleh dikawal secara berkesan melalui ubat-ubatan, pemantauan perubatan berterusan serta rawatan susulan.

"Keputusan untuk meneruskan prosedur hari ini dibuat sepenuhnya berdasarkan keperluan perubatan dan penemuan klinikal yang ada pada ketika itu.

"Memandangkan kebarangkalian yang tinggi bahawa intervensi lanjut akan diperlukan, kebimbangan terhadap prosedur tersebut adalah nyata dan berasas.

"Mujurlah, angiogram koronari tersebut menunjukkan bahawa penyumbatan itu boleh dikawal tanpa memerlukan angioplasti belon atau pemasangan stent," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan sama, Najib kini berada dalam keadaan baik dan akan meneruskan proses pemulihan di bawah pengawasan rapi doktor yang merawat.

Kenyataan itu turut menyebut penghargaan kepada seluruh pasukan perubatan di Pusat Kardiotorasik dan Kardiologi, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang atas profesionalisme, kepakaran dan penjagaan yang diberikan sepanjang proses rawatan.

Ia turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas doa, sokongan dan ucapan baik yang berterusan terhadap kesihatan bekas perdana menteri itu.

 

Must Watch Video

Advertisement