Skip to main content

Malaysia

Golongan muda jangan salah guna viagra - Doktor

[TB]_Dr Aris Fadzilah._ASTRO AWANI
Dr Aris Fadzillah berkata kebanyakan lelaki sihat berusia antara 20 hingga 30 tahun lazimnya tidak memerlukan ubat seperti viagra untuk meningkatkan prestasi seksual.

KUALA LUMPUR: Golongan muda di negara ini diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan media sosial atau rakan sebaya untuk menggunakan ubat mati pucuk seperti viagra tanpa keperluan dan nasihat perubatan yang sah.

Doktor perubatan Dr Aris Fadzillah berkata kebanyakan lelaki sihat berusia antara 20 hingga 30 tahun lazimnya tidak memerlukan ubat seperti viagra untuk meningkatkan prestasi seksual, melainkan selepas menjalani penilaian dan pemeriksaan oleh doktor.

Beliau berkata penggunaan ubat mati pucuk tanpa pemantauan perubatan boleh mengakibatkan kesan sampingan seperti penurunan tekanan darah, selain menimbulkan risiko serius jika diambil bersama ubat tertentu untuk penyakit jantung.

“Bagi golongan muda, kebanyakan mereka sebenarnya tidak mengalami masalah disfungsi erektil, sebaliknya terpengaruh dengan maklumat di internet atau media sosial yang mendakwa ubat tersebut mampu meningkatkan prestasi seksual.

“Pada usia 20 hingga 30 tahun, tahap testosteron lazimnya berada pada paras optimum dan libido berada pada tahap terbaik. Oleh itu, tiada keperluan untuk mengambil ubat berkenaan yang akhirnya boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan, termasuk jantung,” katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.

Mengulas penggunaan ubat tersebut dalam kalangan lelaki berusia, Dr Aris berkata ia sememangnya merupakan salah satu kaedah rawatan, namun hanya bertindak sebagai penyelesaian sementara dan tidak merawat punca sebenar masalah.

Menurut beliau, disfungsi erektil sering berpunca daripada masalah kesihatan lain seperti diabetes, penyakit salur darah, obesiti, kekurangan hormon atau faktor psikologi yang memerlukan rawatan khusus.

Katanya, kemerosotan fungsi seksual juga mempunyai hubungan rapat dengan tahap kesihatan dalaman seseorang, khususnya bagi penghidap diabetes dan kolesterol tinggi yang boleh menyebabkan kerosakan saraf periferi serta saluran darah.

“Apabila paras gula dalam darah tidak terkawal, saraf periferi atau neuropati diabetik dan lapisan salur darah mula rosak secara beransur-ansur, termasuk pada organ seksual.

“Selain itu, saluran darah yang tersumbat akibat penyempitan arteri mengurangkan aliran darah ke zakar, sekali gus menjejaskan fungsi organ berkenaan,” katanya.

Dr Aris turut menjelaskan bahawa proses penuaan semula jadi menyebabkan paras testosteron lelaki mula menurun secara beransur-ansur selepas usia 30 hingga 40 tahun, namun kesannya berbeza antara individu.

Bagi wanita pula, perubahan hormon lazimnya lebih ketara apabila menghampiri fasa menopaus pada usia 40-an atau 50-an.

Beliau berkata antara tanda yang sering diabaikan masyarakat ialah keletihan melampau, kehilangan fokus serta penurunan keinginan seksual yang sering dianggap sebagai sebahagian daripada proses penuaan normal, sedangkan keadaan itu boleh dirawat jika dikesan lebih awal.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan individu berusia 40 tahun ke atas supaya menjalani pemeriksaan darah secara berkala sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memantau tahap kesihatan dalaman.

Dr Aris turut memberi amaran mengenai bahaya keradangan kronik tahap rendah dan lemak viseral yang tidak dapat dilihat secara luaran, namun berpotensi meningkatkan risiko penyakit jantung, hati berlemak dan kanser.

“Ada individu yang kelihatan sihat dan tidak gemuk, tetapi tiba-tiba rebah atau meninggal dunia kerana tidak menyedari paras kolesterol jahat dan lemak viseral dalam badan mereka berada pada tahap tinggi.

“Jangan hanya bergantung pada penampilan fizikal. Lakukan ujian darah lengkap, termasuk pemeriksaan paras gula dan kolesterol, bagi memastikan kesihatan dalaman badan benar-benar berada dalam keadaan baik,” tegasnya.

Must Watch Video

Advertisement