KUALA PILAH: Pakatan Harapan (PH) akan terus memberi tumpuan kepada agenda dan usaha yang dilaksanakan, tanpa perlu memberi perhatian kepada perkembangan yang berlaku antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri itu berkata terdapat beberapa isu yang dilihat tidak serasi antara PN dan BN, namun perkara itu wajar diserahkan kepada pengundi untuk membuat penilaian sendiri.
“Bagi saya yang penting, Pakatan Harapan fokus kepada apa yang kita buat. Apa yang berlaku di peringkat Perikatan (Nasional), Barisan Nasional itu kita biar sajalah.
“Kita tak nak bagi komen. Cuma biar pengundi sendiri membuat penilaian berdasarkan apa yang mereka lihat berlaku kebelakangan ini,” katanya ketika ditemui media selepas sesi ‘walkabout’ bersama Noorzunita, di sini, hari ini.
Beliau turut bersetuju dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa isu perkauman tidak sepatutnya digunakan untuk berpolitik, merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ceramah perdana BN-PN di Jempol dua hari lalu.
Media melaporkan Sanusi ketika berucap mendakwa kuasa politik dan penguasaan ekonomi orang Melayu semakin terhakis dan berdepan risiko hilang sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun jika tiada perubahan drastik dilakukan.
Beliau antara lain berkata Malaysia merupakan satu-satunya tanah yang menjadi tempat perlindungan bagi orang Melayu, sama seperti negara lain yang mempunyai kaum asal masing-masing.