Skip to main content

Malaysia

NTW 2026 buka akses latihan kepada semua, perkukuh masa depan kerjaya

NTW_TB
Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Kemuncak National Training Week (NTW) 2026. - Gambar HRD Corp

PERMATANG PAUH: Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2026 membuka akses latihan percuma kepada rakyat pelbagai latar belakang, sekali gus membantu mereka meningkatkan kemahiran, kekal berdaya saing dan memperkukuh prospek kerjaya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, inisiatif itu merangkumi semua golongan, termasuk belia, pekerja, suri rumah dan pesara yang mahu menambah kemahiran serta merebut peluang ekonomi lebih baik.

Menurutnya, pembangunan modal insan perlu bergerak seiring pencapaian ekonomi negara supaya manfaat pertumbuhan dapat dinikmati secara menyeluruh dan tenaga kerja Malaysia kekal relevan dalam pasaran yang berubah pantas.

“NTW sangat dekat dengan hati saya kerana pada hakikatnya, ia adalah peluang kepada anak muda, pekerja, suri rumah, pesara dan sesiapa sahaja yang mahu membina masa depan lebih baik.

“Kita memerlukan institusi yang kukuh, dipercayai dan mempunyai kepakaran dalam pembangunan bakat negara, serta mampu menguruskan amanah dengan penuh integriti dan tanggungjawab. Di sinilah peranan HRD Corp menjadi amat penting,” katanya pada Majlis Perasmian Kemuncak NTW 2026 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu.

Tambahnya, Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita Malaysia mengikut kaedah Atlas Bank Dunia mencecah AS$12,380 pada 2025, paras tertinggi sejak merdeka.

Ramanan berkata, bagi tahun kewangan 2027, ambang PNK per kapita yang ditetapkan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi ialah AS$14,376.

Ekonomi negara juga dianggarkan berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2026, sekali gus mengukuhkan kepentingan memastikan kemajuan ekonomi disokong oleh tenaga kerja berkemahiran.
 

Image
NTW_INSERT
(Dari kiri) Pengerusi Lembaga Pengarah Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Datuk Rusli Jaafar; Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid; Ketua Menteri Pulau Pinang, Tuan Chow Kon Yeow; Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ramanan Ramakrishnan; Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof; Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz. – Gambar HRD Corp


Dalam pada itu, Ramanan berkata HRD Corp terus memperkukuh tadbir urus pengurusan levi latihan bagi memastikan dana yang diamanahkan majikan dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan bakat negara.

“Untuk separuh pertama 2026 sahaja, kutipan levi latihan di negeri ini berjumlah RM129.72 juta, dengan RM113.74 juta disalurkan semula untuk tujuan peningkatan kemahiran tenaga kerja di negeri ini.

“Saya sentiasa menegaskan bahawa setiap sen levi yang diamanahkan oleh majikan mesti diuruskan dengan penuh integriti,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir  Aziz berkata, pencapaian  NTW 2026 mencerminkan kejayaan usaha bersama dalam memperluaskan akses  kepada pembelajaran berkualiti serta membudayakan pembelajaran sepanjang  hayat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Katanya setakat 24 Julai 2026, hampir 675,000 penyertaan telah direkodkan menerusi lebih  8,600 kursus yang ditawarkan oleh lebih 1,600 penyedia latihan di seluruh negara.  

Jelasnya, HRD Corp akan terus memperkukuh kerjasama  strategik dengan semua pihak bagi memastikan peluang meningkatkan kemahiran  terus dapat diakses oleh semua rakyat Malaysia, bukan sahaja semasa NTW, malah  sepanjang tahun.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Rusli Jaafar; dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Mohamed Shamir Abdul Aziz.

Bertemakan “Pelajari. Alami. Kuasai.”, kemuncak dua hari yang berlangsung hingga Ahad itu menyediakan akses percuma kepada pelbagai latihan tanpa mengira umur, latar belakang atau lokasi.
 

Image
NTW_INSERT
Secara keseluruhan, NTW 2026 menawarkan 8,682 kursus menerusi 1,619 penyedia latihan di seluruh negara, dengan lebih 674,818 penyertaan direkodkan. - Gambar HRD Corp

Must Watch Video

Advertisement