Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Saiful Yazan tampil lima iltizam demi masa depan Johol

saifulyazan, johol, bn  Foto Astro AWANI
Saiful Yazan berkata, aspek kebajikan warga emas di Johol sentiasa diberi perhatian, termasuk usaha menyantuni golongan itu secara lebih teratur dan bersistematik. - Astro AWANI

JOHOL: Lima iltizam yang merangkumi Iltizam Ilmu, Iltizam Kemudahan, Iltizam Kasih, Iltizam Rezeki dan Iltizam Warisan menjadi tawaran Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman, dalam meneruskan agenda pembangunan kawasan itu.

Iltizam Ilmu memberi tumpuan kepada usaha memperluas program tuisyen dan bimbingan akademik, menyokong laluan pendidikan tinggi (IPT), TVET, tahfiz dan kemahiran, selain membawa celik digital, kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber di Johol.

Bagi Iltizam Kemudahan, Saiful Yazan beriltizam menyimpan keutamaan terhadap jalan, lampu, longkang dan kemudahan awam, selain memperkukuh dewan, padang, sekolah, internet dan perkhidmatan awam. Beliau turut berhasrat merekod, membawa dan memantau setiap isu sehingga tindakan dilaksanakan.

Sementara itu, Iltizam Kasih memberi fokus kepada pengukuhan Ziarah Kasih dan jaringan bantuan, termasuk menyantuni warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal serta keluarga yang ditimpa musibah, selain menyusun data kebajikan supaya bantuan dapat disalurkan dengan lebih cepat dan tepat.

Iltizam Rezeki pula menumpukan usaha mengusahakan tanah terbiar dan memperluas pertanian moden, di samping membuka ruang kepada anak muda tani, peniaga kecil dan usahawan desa serta menghubungkan rakyat dengan latihan, bantuan agensi, teknologi dan pasaran.

Dalam pada itu, Iltizam Warisan mengangkat usaha menjunjung institusi adat serta menghormati tertib dan muafakat, selain memperkasa ekopelancongan, inap desa, makanan, budaya dan produk tempatan dalam membina Johol yang berakar pada warisan.

Saiful Yazan berkata, lima iltizam itu merupakan kesinambungan kepada tekad yang pernah dibina.

Dalam pada itu, beliau ketika ditemui media baru-baru ini, di sini berkata aspek kebajikan warga emas di Johol sentiasa diberi perhatian, termasuk usaha menyantuni golongan itu secara lebih teratur dan bersistematik.

“Kita mempunyai data-data database untuk berkaitan dengan orang-orang warga emas di kawasan Johol kita ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata keputusan peperiksaan dan pencapaian sekolah di Johol menunjukkan peningkatan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, hasil pendekatan yang memberi keutamaan kepada aspek pendidikan dan sekolah.

“Contohnya, masa saya membuka pusat tuisyen Johor E-Center Tempoh Hari pada tahun 2019, sebenarnya 15 pelajar untuk UPSR dan untuk maklumat, 10 orang telah ditawarkan masuk ke sekolah berasrama penuh dan daripada jumlah lebih kurang saya limitkan lebih kurang 15 orang
juga pelajar-pelajar SPM. Hampir 10 orang telah mendapat tawaran belajar di pengajaran tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kegiatan ekonomi tempatan perlu terus diperkasakan, termasuk melalui penyediaan kemudahan asas seperti dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang disifatkan mampu menarik lebih ramai pengunjung dari kawasan berhampiran, khususnya sempadan Tampin.

Pada masa sama, Saiful menyifatkan pelaksanaan projek tebatan banjir bernilai RM164 juta sebagai antara pencapaian beliau sepanjang penggal lalu yang kini memasuki fasa pengambilalihan tanah melibatkan kira-kira 200 lot individu.

Dalam pertandingan satu lawan satu, Saiful berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Zailan Mohd Munawar.

Untuk rekod, pada PRN 2023, beliau menang dengan majoriti 2,117 undi dalam pertandingan satu lawan satu menentang calon Perikatan Nasional (PN), Kamarudin Md Tahir.

Must Watch Video

Advertisement