Meta Platforms Inc (Meta) hari ini melancarkan kemas kini terbaharu bagi aplikasi penyuntingan videonya, Edits, dengan memperkenalkan fungsi penjanaan kapsyen dwibahasa secara automatik, lapor Amanz.
Kemas kini itu dilihat sebagai usaha terbaharu Meta untuk memperkukuh kedudukannya dalam pasaran penyuntingan video dan bersaing dengan aplikasi CapCut.
Menerusi kemas kini berkenaan, Edits kini berupaya menjana kapsyen dalam bahasa kedua secara automatik bagi membantu pencipta kandungan menjangkau khalayak global dengan lebih meluas.
Pada peringkat awal, ciri itu menyokong 15 bahasa termasuk Inggeris, Indonesia, Jerman, Hindi, Jepun, Korea, Perancis, Rusia dan Sepanyol.
Selain fungsi kapsyen, Meta turut mempertingkatkan keupayaan templat menerusi ciri penguncian klip (clip locking), yang membolehkan kedudukan klip video dikekalkan ketika proses penyuntingan atau penggunaan semula templat.
Kemas kini itu juga memperkenalkan sokongan tindanan grafik dan elemen visual lain dalam templat bagi memudahkan pencipta menghasilkan kandungan yang lebih konsisten.
Bagi menambah nilai kepada pengguna, Meta turut memperkenalkan pilihan kesan audio bertemakan musim panas yang boleh digunakan terus dalam klip video.
Kesemua ciri baharu itu mula diperkenalkan kepada pengguna global aplikasi Edits di platform Android dan iOS secara berperingkat.