JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) pada Jumaat melancarkan Manifesto Harapan Johor bertemakan “Johor Untuk Semua” yang memberi fokus kepada peningkatan pendapatan rakyat, akses kepada perumahan, pembangunan modal insan dan usaha memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai secara lebih menyeluruh.
Menurut PH, Johor kini berada pada kedudukan strategik untuk muncul sebagai antara negeri paling maju di Malaysia susulan kemasukan pelaburan besar, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), projek RTS serta perkembangan sektor digital dan teknologi masa depan.
Bagaimanapun, gabungan itu menegaskan kemajuan ekonomi tidak boleh diukur melalui angka pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan lebih baik, pendapatan lebih tinggi, pemilikan rumah dan pembangunan yang seimbang di seluruh negeri.
PH berkata ramai rakyat Johor masih berdepan tekanan kos sara hidup, kenaikan harga rumah dan kadar gaji yang belum seiring dengan peningkatan kos kehidupan, dengan gaji median di negeri itu dianggarkan sekitar RM2,982 sebulan.
Antara tawaran utama yang diumumkan ialah skim perlindungan kesihatan sehingga RM100,000 setahun kepada golongan B40, M40 dan orang kurang upaya (OKU), selain cadangan menghidupkan semula Kad Sihat Johor yang disasarkan memberi manfaat kepada kira-kira 500,000 rakyat.
Dalam sektor perumahan, PH menawarkan bantuan deposit rumah pertama sehingga RM8,000, skim sewa untuk milik serta pembinaan 80,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun dengan keutamaan kepada keluarga muda dan generasi kedua FELDA.
Bagaimanapun, agenda perumahan turut menjadi antara fokus utama pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.
Di bawah pentadbiran BN, Johor sebelum ini menetapkan sasaran membina 30,000 rumah mampu milik bagi tempoh 2022 hingga 2026 sebelum meningkatkan sasaran kepada 100,000 Rumah Mampu Milik Johor menjelang 2030.
Lebih 20,000 unit rumah mampu milik turut dilaporkan siap dibina antara 2022 hingga 2025.
Kerajaan negeri juga telah memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk Bantuan Beli Rumah Pertama RM5,000, Bantuan Masuk Rumah RM2,000 dan bantuan sewa rumah kepada golongan layak.
Selain perumahan, PH turut memberi penekanan kepada pembangunan anak muda menerusi Dana Anak Muda Johor bernilai RM500 juta yang merangkumi latihan TVET, kecerdasan buatan (AI), robotik, kemahiran digital, keusahawanan serta program jaminan pekerjaan pertama.
PH juga mencadangkan penyediaan internet gigabit di semua sekolah menjelang 2030, pembangunan makmal AI dan robotik di setiap daerah serta kerjasama lebih erat antara institusi pendidikan dan industri.
Bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, PH menggariskan dana RM1 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan, selain memperkukuhkan sektor agromakanan, ekonomi kreatif, teknologi tinggi, minyak dan gas, pelancongan serta pertanian moden.
Dalam aspek mobiliti rentas sempadan pula, PH menyasarkan pengurangan masa menunggu di pintu masuk Malaysia-Singapura sehingga 50 peratus menerusi integrasi RTS, ETS, Bas.My dan sistem mobiliti pintar, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 300,000 rakyat Johor yang bekerja di Singapura.
Sebagai sasaran utama ekonomi, PH berhasrat mewujudkan 250,000 pekerjaan baharu bergaji tinggi dan bermaruah serta meningkatkan gaji median Johor sekurang-kurangnya 30 peratus.
Sasaran itu diumumkan ketika Johor merekodkan pelaburan RM110 bilion pada 2025 yang menurut kerajaan negeri dijangka mewujudkan lebih 24,000 peluang pekerjaan baharu.
Pentadbiran Onn Hafiz sebelum ini turut menegaskan bahawa pelaburan yang dibawa masuk ke negeri itu perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan lebih baik dan peningkatan pendapatan rakyat.
Manifesto itu turut mengandungi beberapa inisiatif tambahan termasuk penubuhan 250 Taska MADANI dan taska tempat kerja, pas pengangkutan awam Johor RM50 sebulan untuk pelajar, warga emas dan OKU, Program Balik Johor bagi menarik pulang profesional yang bekerja di Singapura atau luar negara serta pemberian RM1,000 kepada setiap bayi yang dilahirkan di negeri itu.
Walaupun banyak tawaran PH dilihat selari dengan agenda pembangunan yang sedang digerakkan kerajaan negeri, perbezaan utama yang cuba diketengahkan menerusi manifesto itu adalah penekanan terhadap pengagihan manfaat pertumbuhan ekonomi.
Jika kerajaan negeri memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan dan mempercepat projek strategik seperti JS-SEZ dan RTS, PH pula mahu menjadikan peningkatan pendapatan, pemilikan rumah dan kesejahteraan rakyat sebagai ukuran utama kejayaan pembangunan Johor.