SONY Interactive Entertainment (Sony) mengumumkan akan menutup PlayStation Store bagi konsol PlayStation 3 (PS3) dan PlayStation Vita (PS Vita) secara berperingkat bermula Ogos ini, lapor Amanz.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat untuk menamatkan sokongan terhadap platform lama serta memfokuskan sumber kepada konsol dan perkhidmatan generasi lebih baharu.
Sony sebelum ini turut mengumumkan bahawa pengeluaran cakera fizikal bagi permainan baharu PlayStation akan dihentikan mulai Januari 2028.
Fasa pertama penutupan PlayStation Store bagi PS3 akan bermula di Mexico, Honduras dan Nicaragua pada Ogos 2026, diikuti beberapa negara lain di Amerika Latin dan Asia Barat pada penghujung tahun ini.
Penutupan sepenuhnya bagi PS3 dan PS Vita di pasaran lain pula dijadualkan pada Julai 2027.
Menurut Sony, keputusan itu dibuat kerana kedua-dua platform berkenaan tidak lagi mampu menyokong keperluan sistem perdagangan moden, termasuk piawaian pemprosesan pembayaran terkini.
Selepas PlayStation Store ditutup di sesuatu wilayah, pengguna tidak lagi boleh membeli permainan digital baharu atau kandungan tambahan (DLC) menerusi PS3 dan PS Vita.
Bagaimanapun, Sony mengesahkan bahawa permainan dan kandungan yang telah dibeli sebelum ini masih boleh dimuat turun semula melalui akaun PlayStation Network (PSN) untuk tempoh yang akan diumumkan kemudian.