Skip to main content

Teknologi

OpenAI dilapor tawar pegangan 5 peratus kepada kerajaan AS

41739334203_OpenAIlogo.jpg
Tawaran pegangan tersebut dianggarkan bernilai sekitar AS$42.6 bilion (kira-kira RM173.8 bilion) berdasarkan penilaian daripada suntikan dana terakhir firma pembangunan model AI berkenaan. -Gambar fail

WASHINGTON: OPENAI dilapor menawarkan lima peratus pegangan saham syarikatnya kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, sebagai langkah strategik mendepani kawalan kawal selia teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin ketat.

Menurut Amanz yang memetik laporan media antarabangsa, tawaran pegangan tersebut dianggarkan bernilai sekitar AS$42.6 bilion (kira-kira RM173.8 bilion) berdasarkan penilaian daripada suntikan dana terakhir firma pembangunan model AI berkenaan.

Langkah itu difahamkan mempunyai kaitan dengan tindakan agresif Washington kebelakangan ini yang mula memperlahankan kelulusan penawaran model AI baharu demi keselamatan nasional.

Sebelum ini, kerajaan AS dilaporkan turut mengarahkan sebuah lagi firma AI terkemuka, Anthropic, untuk menyekat akses model terbaharu mereka daripada pengguna bukan warganegara AS.

Selain OpenAI, pentadbiran Trump dilapor sedang mempertimbangkan pegangan dalam beberapa syarikat kecerdasan buatan lain, selepas sebelum ini sedia mengambil alih 10 peratus pegangan dalam syarikat gergasi semikonduktor Intel.

Bagaimanapun, cadangan pemilikan ekuiti oleh sekutu White House itu menimbulkan persoalan dalam kalangan penganalisis industri mengenai tahap penerimaan pasaran global terhadap produk OpenAI.

Pegangan terus oleh kerajaan AS dikhuatiri akan menjejaskan keyakinan negara luar untuk menggunakan teknologi OpenAI, khususnya bagi urusan pentadbiran rasmi dan operasi kritikal kerajaan asing.

Perbincangan mengenai terma penawaran saham tersebut dilapor masih berada di peringkat awal dan belum dimuktamadkan oleh kedua-dua belah pihak.

 

Must Watch Video

Advertisement