KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi membantu pemandu teksi di seluruh negara memiliki kenderaan baharu melalui skim khas melibatkan model Proton S70.
Beliau berkata tambahan peruntukan itu menjadikan jumlah keseluruhan dana yang diperuntukkan oleh Kerajaan Madani bagi tujuan tersebut adalah sebanyak RM20 juta, susulan peruntukan awal RM10 juta yang diumumkan dalam Belanjawan tahun lalu.
Menurut Anwar, langkah itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk menaik taraf kehidupan pemandu teksi yang selama ini terbeban dengan sistem sewa permit yang memihak kepada syarikat besar atau individu kaya.
“Kita mahu ubah sistem yang kita warisi dahulu. Mengapa permit teksi perlu diberikan kepada orang kaya manakala pemandu pula terpaksa bekerja keras untuk rezeki yang sedikit?
“Di bawah Kerajaan Madani, kita putuskan permit mesti diberikan terus kepada pemandu supaya mereka menjadi pemilik sendiri.
"Projek besar seperti pencakar langit kita faham untuk syarikat besar, tetapi untuk pengusaha kecil (pemandu teksi), kita mesti pastikan mereka tidak lagi terbeban dengan sewa yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap majlis peluncuran teksi Madani Nasional, di sini, pada Jumaat.
Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh.
Mengulas lanjut mengenai skim Proton S70 tersebut, Anwar menjelaskan bahawa kerjasama antara Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan dan syarikat automotif tempatan, Proton, bukan sekadar melibatkan pemilikan kereta, tetapi merangkumi ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh.
“Melalui skim ini, kita bukan sahaja kurangkan harga kereta, tetapi juga menjamin servis dan khidmat penyelenggaraan di Puspakom atau pusat servis dengan kos yang lebih murah.
“Malah, kementerian sedang mengusahakan agar pasukan servis boleh turun ke stesen-stesen teksi untuk melakukan pemeriksaan dan penyelenggaraan kecil supaya pemandu tidak hilang waktu bekerja dan kos dapat dikurangkan,” katanya.
Anwar berkata, melalui pengurangan kos operasi dan kemudahan pinjaman mudah ini, kerajaan menyasarkan pendapatan bulanan pemandu teksi dapat ditingkatkan kepada RM5,000 hingga RM7,000 sebulan, berbanding purata RM3,000 sebelum ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyifatkan pemandu teksi sebagai 'duta kecil' negara yang berperanan penting dalam mempromosikan imej Malaysia kepada pelancong asing melalui aspek kesopanan, tatasusila dan kebersihan.
“Pemandu teksi adalah penyumbang besar dalam bidang pelancongan dan kebersihan.
“Cara anda bicara dengan sopan dan menjaga kebersihan kota akan menarik minat pelancong. Inilah nilai Madani yang kita mahu terapkan, ada ihsan dan kasih sayang tanpa mengira kaum atau agama,” tambahnya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus meneliti memorandum dan cadangan daripada persatuan teksi bagi memastikan kebajikan warga teksi sentiasa terpelihara selari dengan perkembangan teknologi dan sistem aplikasi masa kini.