Skip to main content

Sukan

Glasgow 2026: Muhamad Aznil rangkul emas ketiga berturut-turut, cipta tiga rekod temasya

GLASGOW, July 27 -- National weightlifter Muhamad Aznil Bidin with the gold medal he won in the men's 65kg category at the Glasgow 2026 Commonwealth Games held at the Scottish Event Campus (SEC) Armadillo today.  Aznil clinched the gold medal with a combined lift of 299kg, while India's Raja Muthupandi (left) won the silver medal and Papua New Guinea's Baru Morea (right) secured the bronze.  --fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Muhamad Aznil (tengah) bersama Raja Muthupandi (kiri) dan Morea Baru. --fotoBERNAMA

GLASGOW: Jaguh angkat berat negara Muhamad Aznil Bidin melakar sejarah apabila merangkul pingat emas Sukan Komanwel buat kali ketiga berturut-turut selepas menjuarai kategori 65 kilogram (kg) lelaki pada edisi Glasgow 2026 di sini, Ahad.

Kejayaan itu menyaksikan atlet berusia 32 tahun berkenaan menjadi atlet Malaysia pertama memenangi tiga pingat emas Sukan Komanwel berturut-turut selepas muncul juara kategori 62kg pada edisi Gold Coast 2018, sebelum mempertahankan emas dalam kategori 61kg di Birmingham 2022.

Pencapaian itu turut mengatasi rekod bekas atlet angkat berat negara Amirul Hamizan Ibrahim yang meraih emas pada edisi Manchester 2002 dan Delhi 2010.

Beraksi di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo, Muhamad Aznil mencatat jumlah angkatan keseluruhan 299kg menerusi 133kg dalam acara snatch dan 166kg bagi clean and jerk, dengan ketiga-tiga catatan itu memecahkan rekod temasya.

Beliau memulakan saingan snatch dengan angkatan 130kg sebelum memperbaiki catatannya kepada 133kg pada percubaan kedua. Bagaimanapun, beliau gagal menyempurnakan angkatan 135kg pada percubaan terakhir.

Dalam acara clean and jerk, Muhamad Aznil berjaya mengangkat 162kg pada percubaan pertama untuk mencipta rekod temasya, sebelum memperbaharuinya menerusi angkatan 166kg pada percubaan kedua.

Namun, percubaan terakhirnya untuk mengangkat beban seberat 170kg tidak berhasil.

Pingat perak menjadi milik atlet India Raja Muthupandi, yang merekodkan jumlah angkatan keseluruhan 286kg menerusi 126kg dalam acara snatch dan 160kg dalam clean and jerk, manakala Morea Baru dari Papua New Guinea meraih gangsa dengan catatan 282kg hasil angkatan 125kg dalam snatch dan 157kg dalam clean and jerk.

Kemenangan Muhamad Aznil menghadiahkan pingat emas kedua buat Malaysia di Glasgow, sekali gus meneruskan kempen cemerlang skuad angkat berat negara selepas Mohamad Aniq Kasdan terlebih dahulu menjuarai kategori 60kg lelaki.

Terdahulu, Irene Jane Henry turut menyumbang pingat gangsa dalam kategori 48kg wanita.

Kontinjen negara setakat ini mengumpul dua pingat emas dan dua gangsa dengan satu lagi pingat gangsa disumbangkan jaguh powerlifting para negara Bonnie Bunyau Gustin dalam kategori lightweight lelaki.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement