RAMALLAH: Ketegangan di Tebing Barat yang diduduki terus memuncak apabila peneroka Israel didakwa membakar dua buah masjid, beberapa kenderaan serta tanah pertanian milik penduduk Palestin dalam siri serangan terbaharu yang berlaku di beberapa kampung di wilayah itu.
Menurut pegawai Palestin, serangan terbabit berlaku hanya dua hari selepas pertembungan antara peneroka Israel dan penduduk Palestin berhampiran kampung Tal yang mengorbankan empat rakyat Palestin dan dua warga Israel.
Pihak Palestin melaporkan dua kampung menjadi sasaran serangan pada waktu malam, dengan beberapa kenderaan dirosakkan, harta benda dicuri dan dinding bangunan diconteng dengan grafiti berunsur kebencian.
Datuk Bandar Qusra, Abdul Azim Wadi, berkata sekumpulan peneroka membakar sebuah masjid yang masih dalam pembinaan di kampung berkenaan.
Beliau turut mendakwa pelaku meninggalkan tulisan perkataan “balas dendam” pada dinding masjid itu.
Tentera Israel memaklumkan pasukannya telah dihantar ke Qusra dan polis akan menjalankan siasatan serta mengumpulkan bahan bukti berhubung kejadian tersebut.
Dalam satu lagi insiden berasingan, pegawai Palestin mendakwa peneroka Israel turut membakar sebuah masjid di kampung Kour dan menconteng slogan pada dinding bangunan itu.
Penduduk Palestin mendakwa serangan oleh peneroka Israel meningkat sejak insiden berdarah di Tal pada Jumaat lalu, dengan beberapa kampung lain turut menjadi sasaran gangguan dan keganasan.
Sementara itu, tentera Israel melancarkan operasi keselamatan di seluruh Tebing Barat dan menahan lebih 130 individu dalam apa yang disifatkan sebagai operasi membanteras keganasan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berjanji akan mengambil tindakan tegas susulan kematian dua warga Israel dalam kejadian di Tal, termasuk mempertimbangkan perobohan rumah individu Palestin yang didakwa terlibat.
Penduduk kampung Sarra yang terletak berhampiran Tal pula mendakwa beberapa rumah dibakar dan puluhan lagi diserang dengan batu oleh kumpulan peneroka.
Seorang penduduk, Hanan Turabi, berkata beliau terpaksa melarikan diri bersama empat anaknya selepas melihat kumpulan peneroka menghampiri kediamannya.
Menurutnya, peneroka terbabit menyerang dari pelbagai arah dan terus mengejar penduduk yang cuba menyelamatkan diri.
Keganasan peneroka di Tebing Barat dilaporkan meningkat dengan ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan terus mendapat kecaman masyarakat antarabangsa.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 1,100 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat sejak tercetusnya perang di Gaza pada Oktober 2023, manakala sekurang-kurangnya 35 kematian dikaitkan dengan serangan peneroka Israel.
Tebing Barat kini menempatkan kira-kira 700,000 peneroka Israel yang tinggal di ratusan penempatan, bersebelahan lebih 3.3 juta penduduk Palestin.
Penempatan Israel di wilayah yang diduduki itu dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa.